fbpx
Ismail Sabri.

Rakyat Malaysia diminta bersatu sokong usaha pemulihan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seluruh warga Malaysia diseru untuk terus bersatu hati menyokong usaha kerajaan memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara bagi menjadikan negara ini sebuah negara maju sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ekonomi negara kini berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90 peratus ekonomi dan kebanyakan aktiviti sosial.

“Dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022 selari dengan unjuran oleh Geran Bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.

“Pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial selain kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi telah divaksinasi,” katanya menerusi satu kenyataan ucapan Tahun Baharu Cina 2022 hari ini.

Tambah beliau, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

Menerusi kenyataan itu juga, Ismail Sabri mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh Keluarga Malaysia yang berketurunan Tionghua dan mengingatkan agar tidak melupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan Covid-19.

“Selamat Tahun Baharu Cina saya ucapkan kepada seluruh Keluarga Malaysia yang berketurunan Tionghua. Selepas dua tahun terpaksa menyambut tahun baharu dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga, tahun ini masyarakat Tionghua dapat kembali bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.

“Peluang yang dinikmati ini diharap dapat mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan namun dikala bergembira, usah dilupakan SOP dalam memastikan kita semua dapat terus hidup membendung penularan wabak Covid-19,” ujar beliau.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh masyarakat Cina yang telah berganding bahu dengan kaum-kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

“Sempena Tahun Harimau ini, diharap segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya.

“Marilah kita sama-sama berdoa, semoga tahun ini membawa kemakmuran, kebahagiaan dan kesihatan yang baik untuk seluruh Keluarga Malaysia,” katanya. -K! ONLINE

POPULAR