KUALA LUMPUR – Pembangunan kecerdasan buatan (AI), teknologi dan inovasi perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat, bukannya sekadar menguntungkan syarikat atau pihak tertentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemajuan teknologi perlu menjana pekerjaan berkualiti, memperkukuh keupayaan tempatan, memperluas peluang perniagaan dan memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.
“Teknologi, kewangan dan inovasi tidak boleh menjadi matlamat semata-mata. Ia mesti menambah nilai kepada ekonomi dengan menjana pekerjaan berkualiti dan memperluaskan peluang kepada perniagaan dan memastikan akses lebih mampu milik kepada golongan yang sebelum ini ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Global Development Centre (GDC) Ant International di The Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX), di sini hari ini.
Anwar berkata, penggunaan model bahasa besar (Large Language Models) secara bertanggungjawab mampu menghapuskan pelbagai halangan, memudahkan komunikasi serta membuka ruang baharu kepada perdagangan dan inovasi.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu memastikan pertimbangan manusia terus menjadi teras dalam proses membuat keputusan walaupun teknologi AI semakin canggih.
Beliau turut memaklumkan kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI yang akan melengkapkan kerangka sedia ada termasuk Akta Keselamatan Siber dan peraturan perlindungan data.
Katanya, kepercayaan digital merupakan asas penting dalam usaha membangunkan negara digital, selain menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 dan fasa akhir Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Pada masa sama, beliau menyifatkan keputusan Ant International menjadikan Malaysia sebagai lokasi pusat pembangunan global pertama syarikat itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan negara, kejelasan dasar kerajaan serta keupayaan bakat tempatan dalam bidang teknologi tinggi. – KOSMO! ONLINE














