fbpx

Harga maksimum runcit ayam standard dikurangkan 20 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju agar harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan menjadikan RM8.90 manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan kedua-dua harga itu yang akan bermula 5 Februari sehingga 5 Jun ini merupakan antara perkara yang dipersetujui menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai industri pengeluaran makanan semalam.

“Tindakan proaktif perlu dilaksanakan kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan, namun dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas dan sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil.

“Sebanyak empat kertas telah dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MAFI) serta Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam mesyuarat ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, perkara lain yang dipersetujui menerusi mesyuarat berkenaan adalah pemberian subsidi bagi pengawalan harga barang seperti SHMKM yang perinciannya akan dibuat oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara diketuai oleh MAFI serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil.

“Permit import ayam bulat juga dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam yang sebelum ini hanya dibenar mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain serta mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar.

“Mesyuarat turut mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam serta telur,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang melibatkan 222 Parlimen juga perlu dilaksanakan secara maksimum dengan kerjasama bersepadu melibatkan kementerian terbabit.

“Pelaksanaan Kedai Harga Patut juga perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan dan mesyuarat turut meminta Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam.

“Selain itu, koperasi terlibat dalam industri pertanian pula akan turut dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah untuk mengawal harga,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI