fbpx

‘Selepas banjir, ribut pula uji kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN bumbung rumah yang tercabut dalam kejadian ribut kencang di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22, Shah Alam kelmarin. – ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Belum reda trauma akibat banjir besar yang berlaku hujung tahun lalu, penduduk Kampung Kebun Bunga di Seksyen 22 di sini sekali lagi diuji apabila rumah mereka mengalami kerosakan teruk selepas dibadai ribut kencang dan hujan lebat kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu melibatkan hampir 40 buah rumah, sekali gus memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk selepas mereka turut mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit akibat banjir sebelum ini.

Lebih menyedihkan apabila ada antara penduduk yang mendakwa masih belum menerima sebarang bantuan ihsan sama ada daripada kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Situasi itu menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan simpanan daripada tabung untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Seorang penduduk, Maznah Mohd. Zain, 56, mengakui dugaan kali ini cukup besar apabila keluarganya diuji dengan dua musibah teruk hanya dalam tempoh lebih sebulan.

“Kesan daripada banjir pada 18 Disember tahun lalu belum lagi selesai dan keadaan rumah juga masih belum tersusun de­ngan sempurna.

“Bagaimanapun, keluarga kami diuji lagi dengan kejadian ribut yang mengakibatkan sebahagian rumah rosak teruk,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menceritakan mengenai keja­dian kelmarin, beliau berkata, rumahnya dibadai ribut kencang ketika dia berada di rumah bersama anak dan cucu yang masing-masing berusia 20 tahun serta lima tahun.

“Saya bersama anak terpaksa memegang dan menolak pintu hadapan yang rosak akibat banjir bagi mengelakkannya tercabut.

“Bagaimanapun dalam sekelip mata, saya lihat bumbung rumah telah tercabut dan terbang selepas dibadai pusaran angin yang cukup kencang,” katanya.

Maznah yang telah tinggal selama 40 tahun di rumah itu berkata, sebaik bumbung rumahnya tercabut dan air masuk ke dalam rumah, dia segera keluar untuk berlindung bersama anak dan cucunya di rumah jiran.

“Semuanya musnah. Bencana banjir sebelum ini menyebabkan pakaian, perabot dan peralatan rumah rosak, tetapi kini bumbung dan struktur rumah pula yang terjejas.

“Kalau dihitung, kerosakan dan kemusnahan ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM70,000,” katanya.

Nur Adila Rohani mengemas kediaman Ibunya yang rosak teruk dibadai ribut di Kampung Kebun Bunga semalam.

Peniaga kedai makan Warong Palace, Saiful Azwan Deraman, 35, yang menceritakan detik kejadian berkata, dia bersama lima pekerjanya terpaksa memeluk tiang konkrit hampir dua minit sambil berzikir apabila berada dalam pusaran angin.

Tambahnya, dia melihat sendiri bumbung kedainya tercabut dan terbang sejauh 15 meter ke udara sebelum menghempap rumah jiran.

“Saya belum dapat bantuan yang diumumkan kerajaan dan hanya bantuan Lembaga Zakat Selangor yang diperoleh dengan cepat. Buat masa ini, saya terpaksa mengorek tabung untuk membeli kelengkapan berniaga.

“Apapun, saya bersyukur ke­rana kejadian ini tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa,” tambahnya.

Sementara itu, suri rumah, Amidah Salleh, 66, berkata, dia hanya mengetahui bumbung rumahnya tercabut dibadai ribut selepas dimaklumkan seorang jiran.

“Sedih memang ada, namun saya reda mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Apa yang kami harapkan agar bantuan segera dapat diberikan kepada semua penduduk yang terjejas,” jelasnya.

Dalam pada itu, hujan lebat dan ribut kencang turut menyebabkan kerosakan di bangunan Management & Science University (MSU), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan beberapa buah kereta selepas dihempap bumbung parkir dan pokok tumbang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI