fbpx

Ana ragut hampir 80 nyawa di tiga negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita mencari barangan miliknya yang hilang akibat ribut tropika Ana di wilayah Tete, Mozambique.

ANTANANARIVO, Madagascar – Angka kematian akibat ribut yang menghentam tiga negara di selatan Afrika meningkat kepada 77 orang kelmarin ketika pasukan-pasukan kecemasan bergelut untuk membaiki infrastruktur yang rosak dan membantu berpuluh-puluh ribu mangsa.

Ribut Tropika Ana tiba di daratan di Madagascar pada Isnin lalu sebelum membadai Mozambique dan Malawi.

Pekerja penyelamat dan pihak berkuasa ketiga-tiga negara masih menilai kerosakan penuh yang berlaku walaupun satu lagi ribut sedang terbentuk di Lautan Hindi.

Madagascar mengisytiharkan darurat bencana alam di seluruh negara kelmarin ketika angka kematian meningkat kepada 48 orang. Mozambique pula melaporkan 18 kematian, manakala 11 orang terkorban di Malawi.

Saki baki ribut itu telah melepasi Zimbabwe tetapi tiada kematian dilaporkan di negara itu.

Di ketiga-tiga negara yang paling teruk terjejas itu, berpuluh-puluh ribu kediaman rosak. Sebahagian yang lain ranap akibat hujan lebat dengan mangsa-mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Air sungai  deras dan melimpah menghanyutkan sejumlah jambatan, menenggelamkan tanah  pertanian dan menyebabkan haiwan ternakan mati, sekali gus memusnahkan mata pencarian penduduk di kawasan pedalaman.

Di Madagascar, seramai 130,000 orang meninggalkan kediaman mereka. Di ibu kotanya,  Antananarivo, sekolah-sekolah dan gimnasium diubah menjadi pusat perlindungan kecemasan.

“Kami hanya membawa bersama barangan paling penting,” kata Berthine Razafiarisoa yang berlindung di dalam sebuah gimnasium bersama 10 anggota keluarganya.

Di utara dan tengah Mozambique, Ana memusnahkan 10,000 kediaman dan berpuluh-puluh hospital, manakala sejumlah tiang elektrik turut tumbang.

Mozambique dan perkhidmatan cuaca antarabangsa memberi amaran bahawa satu lagi ribut dinamakan Batsirai terbentuk di Lautan Hindi dan dijangka tiba di daratan  dalam masa beberapa hari lagi. – AFP  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI