fbpx
Gambar hiasan

Kenderaan dijangka meningkat 4.6 juta sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah aliran trafik yang menggunakan lebuh raya akan meningkat sehingga 4.6 juta kenderaan sehari sempena Cuti Hari Minggu dan Cuti Tahun Baharu Cina.

LLM dalam satu kenyataan berkata, pertambahan jumlah kenderaan ini dijangka akan berlaku secara berperingkat bermula esok sehingga 7 Februari 2022 nanti.

“Pengguna lebuh raya dinasihatkan agar merancang perjalanan dengan mengikut jadual Cadangan Waktu Perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang telah dikeluarkan oleh pihak pengendali lebuh raya.

“Pengguna juga diminta memastikan baki kad touch ‘n go dan e-wallet mencukupi serta menggunakan lorong yang betul untuk masuk dan keluar di plaza tol,” katanya di sini hari ini.

Di samping itu, LLM juga telah mengarahkan kesemua Syarikat Konsesi Lebuh Raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.

Antara langkah–langkah yang diambil adalah melakukan pemeriksaan terhadap semua peralatan dan kemudahan yang disediakan di sepanjang lebuh raya berfungsi serta berada dalam keadaan baik terutamanya di plaza tol, kawasan rehat & rawat (R&R).

“Semua kerja pembaikan dan penyelenggaraan yang melibatkan penutupan lorong di laluan utama lebuh raya akan dihentikan sehingga 7 Februari 2022.

“Lorong berlapis tambahan juga akan disediakan di plaza – plaza tol yang dikenalpasti akan berlaku kesesakan dan petugas – petugas tambahan juga akan ditempatkan bagi membantu melancarkan transaksi tol,” ujarnya.

Menurutnya, jumlah anggota juga ditambah bagi mempercepatkan tempoh tindakan untuk menangani sebarang kejadian yang berlaku di lebuh raya.

“Jentera seperti kembalik (towing truck) dan kren juga ditempatkan di lokasi tertentu bagi memastikan kerja–kerja pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dialihkan dengan segera untuk meminimakan gangguan terhadap aliran trafik.

“Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam dan pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat keadaan trafik dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian 1-800-88-7752 atau menerusi laman rasmi Facebook Lembaga Lebuh Raya Malaysia,” jelasnya. – K!ONLINE

POPULAR