fbpx

Usaha bina semula Tonga bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA Palang Merah mendirikan tempat perlindungan sementara di Kampung Kanokupolu, Pulau Tongatapu kelmarin. - AFP

CANBERRA, Australia – Penerbangan bantuan dari Australia, Jepun dan  New Zealand  yang membawa makanan, air, bekalan makanan dan peralatan telekomunikasi mendarat di Tonga kelmarin.

Perkembangan itu berlaku ketika Tonga yang terletak di Lautan Pasifik,  bergelut dengan situasi pasca letusan gunung berapi bawah laut dan tsunami.

Saluran berita ABC melaporkan,  lapangan terbang utama telah dibersihkan daripada abu gunung berapi Hunga Tonga Hunga Ha’apai yang meletus seminggu lalu.

“Jelas sekali bahawa ini adalah masa yang sukar untuk rakyat Tonga. Laporan yang saya dapat hari ini (kelmarin) adalah ramai orang hilang tempat tinggal,” kata Menteri Pembangunan Antarabangsa dan Rantau Pasifik Australia,  Zed Seselja kepada pemberita di Canberra.

Menurutnya, usaha pembersihan juga lancar dengan pegawai tentera dan kerajaan Tonga berganding bahu.

Seselja memberitahu, kapal-kapal dari Amerika Syarikat dan Britain sedang dalam perjalanan ke Tonga. Turut dikerah, katanya ialah kapal tentera  Australia,  HMAS Adelaide yang membawa bersama beberapa helikopter dan  pasukan jurutera. Kapal itu juga dilengkapi hospital lapangan berkapasiti 40 katil selain generator elektrik serta alat penapis air.

Tonga kini kekurangan air bersih berikutan punca air dicemari lapisan abu gunung berapi dan air masin.

Pada Sabtu lepas, kerajaan Jepun berkata, pesawat C-130 milik tenteranya tiba di Tonga dengan membawa bersama air minuman seberat tiga tan. Kapal terbang itu menyusuli sebuah lagi pesawat tentera Jepun yang berlepas pada Jumaat lalu. Sebuah pesawat lain turut berlepas kelmarin dengan membawa peralatan untuk membersihkan abu gunung berapi.

Seselja berkata, antara berita baik adalah angka kematian akibat bencana berkembar itu adalah sangat rendah dengan tiga kematian disahkan setakat ini.

Tiga pulau lebih kecil di Tonga mengalami kerosakan serius akibar dilanda ombak tsunami. Majoriti penduduk Tonga tinggal di pulau utama,  Tongatapu di mana sekitar 50 kediaman musnah dan kawasan pantai dipenuhi serpihan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI