fbpx

Budak derita jantung berlubang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Saiful Izwan (dua dari kanan) mendukung Ismail Aisar yang menghidap penyakit jantung berlubang ketika ditemui di Seberang Perai baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak yang dilahirkan pramatang berdepan ujian berat apabila disahkan menghidap penyakit jantung berlubang hingga menjejaskan rutin hariannya berbanding kanak-kanak lain.

Ismail Aisar Muhammad Saiful Izwan, 2, disahkan menghidap penyakit itu selepas menjalani pemeriksaan rutin di sebuah hospital pada bulan lalu.

Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, ibu bapa kanak-kanak malang itu, Muhammad Saiful Izwan Yazid, 35, dan Nurshafika Anis Mohd. Shariff, 33, sentiasa mengharapkan agar pembedahan anak mereka yang dijadualkan esok berjaya.

Katanya, pasangan dari Parit Buntar, Perak, itu hanya mahu melihat anak yang masih kecil dan baru mula bertatih itu membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain.

“Ismail Aisar mempunyai seorang kakak kembar yang juga menghidap penyakit jantung berlubang selepas kedua-duanya dilahirkan secara pramatang ketika usia kandungan 38 minggu.

“Doktor mengesahkan yang keadaan jantung kanak-kanak kecil itu telah menjejaskan injap jantungnya menerusi pemeriksaan rutin pada bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Sui Hau, prihatin dengan masalah itu, pihaknya telah menjalankan kempen memohon bantuan orang ramai menerusi media sosial bagi membolehkan anak bongsu daripada tiga beradik itu mendapatkan rawatan segera.

Tambahnya, setakat ini sebanyak RM68,000 telah terkumpul dalam tempoh singkat dan ia cukup untuk menampung kos pembedahan sekali gus dapat meringankan beban keluarga berkenaan.

“Ismail Aisar akan menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang Sabtu ini (esok) dan diharapkan ia berjalan lancar dan Ismail Aisar dapat kembali sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Ujar Sui Hau, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk membantu golongan memerlukan dengan sokongan orang ramai yang prihatin.

Sehubungan itu, Sui Hau meminta orang ramai terus menghulurkan sumbangan ke akaun Public Bank Berhad bernombor 3235446336 atas nama One Hope Charity & Welfare atau hubungi talian 016-419 2192 atau 019-232 2192 atau layari onehopecharity.org untuk membantu pihak lain pula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI