fbpx
Dataran Tsunami yang sesuai untuk aktiviti riadah pengunjung.

‘Tolong majukan Dataran Tsunami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Kewujudan Dataran Tsunami yang pernah menjadi saksi kepada kejadian tsunami pada tahun 2004 perlu dimajukan dengan pembinaan lebih banyak kemudahan dan aktiviti menarik bagi menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan baharu di Kota ­Kuala Muda.

Kawasan perkampungan itu mengalami kemusnahan teruk ketika kejadian tsunami sehingga meranapkan 10 buah kampung dan meragut 11 nyawa pada tahun penghujung 2004.

Bagaimanapun, ketika ini kawasan berkenaan menjadi salah satu lokasi persinggahan pelancong di Kota Kuala Muda selain pasar bisik ikan, Pantai Merdeka dan Pulau Sayak.

Selain tempat bercuti, pengunjung juga boleh melawat Galeri Tsunami dan merakam gambar di Memorial Tsunami serta dapat menjamu selera di restoran sambil menikmati keindahan pemandangan tepi laut.

Susulan itu, penduduk setempat berharap Dataran Tsunami tidak sekadar menjadi lokasi persinggahan untuk makan dan bergambar sahaja, sebaliknya perlu dimajukan dengan pelbagai kemudahan dan aktiviti menarik supaya pelancong tidak jemu untuk kembali semula.

Pengerusi Badan Pengurusan Dataran Tsunami (BPDT), Ahmad Osman berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dapat menaik taraf kawasan tersebut sebagai lokasi pelancongan popular di negeri ini.

Ahmad berkata, selepas tragedi itu, pelbagai usaha penambahbaikan yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) bersama pihak BPDT untuk menceriakan kawasan itu.

Katanya, selain bantuan daripada kerajaan negeri, pihak BPDT juga turut mengeluarkan dana sendiri hasil daripada kutipan sewa tapak pasar malam di Dataran Tsunami dan sumba­ngan orang ramai bagi melakukan penambahbaikan di kawasan berkenaan seperti menyediakan kemudahan surau dan tandas awam.

Bagaimanapun, katanya, tidak banyak aktiviti yang dapat dilakukan di kawasan itu menyebabkan Dataran Tsunami sekadar menjadi tempat persinggahan para pelancong.

“Kita telah kemukakan pelbagai cadangan untuk menaik taraf kawasan ini seperti menyediakan tapak mendarat untuk aktiviti sukan udara paragliding, tapak untuk aktiviti perkhemahan (campsite) dan dewan orang ramai untuk kegunaan bagi majlis perkahwinan dan sebagainya supaya dapat menarik lebih ramai pelancong ke sini.

“Selain itu, kita juga cadangkan supaya lebih banyak ‘spot’ bergambar yang menarik dibina di sini supaya orang ramai lebih teruja untuk datang bergambar di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seorang penduduk, Norazlina Md. Desa, 32, berkata, dia berharap kerajaan dapat membina bangunan arked niaga di kawasan tersebut supaya penduduk dan nelayan dapat menjual produk lokal di situ.

“Dengan adanya arked niaga ini, pelancong dan orang ramai yang berkunjung ke pasar bisik juga dapat singgah untuk membeli produk perikanan tempatan di sini sekali gus dapat memajukan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN