fbpx

Ibu bapa guru pertamaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TARIKH 16 Mei merupakan hari istimewa bagi semua guru di seluruh Malaysia yang dipilih sebagai menghargai peranan golongan itu.

Usaha dan titik peluh mereka yang tiada tolak tandingan apabila berjaya menggilap ramai pelajar cemerlang dalam kehidupan.

Namun, tidak dapat dinafikan tanggungjawab ibu bapa dalam membentuk sahsiah diri generasi kini bermula dari rumah.

Hakikatnya, ibu bapa adalah guru pertama bagi anak-anak biarpun bukan memberikan tunjuk ajar secara formal.

Ibu bapa merupakan golongan pendidik yang memainkan peranan penting dan sebagai tunjang utama pembangunan modal insan permata negara.

Sebelum menghuraikan lebih panjang, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Langkawi, Anis Azrina Shaffei yang mempunyai pengalaman lebih dua
dekad dalam bidang pendidikan berkata, banyak perbezaan pelajar zaman dahulu dan kini.

“Sebenarnya banyak perbezaan kalau mahu cakap mengenai pelajar zaman dahulu dan sekarang kerana perubahan dari segi suasana.

“Namun begitu, itulah cabaran sebagai seorang pendidik. Walaupun sukar, kami tetap harus menghadapi rintangi demi melahirkan insan supaya berjaya mencapai cita-cita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Anis Azrina, pelajar zaman kini lebih sukar untuk dibentuk tetapi mereka mempunyai daya saing tinggi dan mampu membawa diri menjadi orang hebat.

Bagaimanapun, Anis Azrina berpandangan ibu bapa hakikatnya guru terbaik bagi setiap anak-anak.

Katanya, ibu bapa menjadi pendidik pertama bagi anak sebelum melangkah ke alam persekolahan. Walaupun ilmu diberikan bukan dalam bentuk pembelajaran tetapi semua tingkah laku, adab, kelakuan, penampilan dan disiplin datangnya dari ibu bapa.

“Sebelum guru, ibu bapalah pendidik sebenar. Mereka mampu membentuk disiplin anak-anak dari awal sehingga boleh menjadikan kanak-kanak kecil itu seseorang lebih matang, berfikiran terbuka dan mudah menerima pendapat tanpa beremosi,” katanya.

Ujar Anis Azrina, peranan tersebut sememangnya harus dibentuk dari rumah atau erti kata lain pembentukan awal. Ibarat kain putih, kita sendiri yang warnakan.

“Amat penting untuk membentuk keperibadian mereka pada usia awal supaya membantu proses guru di sekolah yang perlu memantau lebih lebih beratus pelajar,” ujarnya.

Memahami situasi zaman kini di mana pelajar lebih berminat untuk menjadi pempengaruh dan pencipta kandungan sehingga perlahan-lahan mengabaikan pembelajaran, Anis turut menasihati ibu bapa memujuk anak-anak cintakan sekolah.

“Dunia sekarang lebih kepada dunia teknologi dan sememangnya pelajar gemar menghadap telefon sehingga terpengaruh dan tidak menumpukan fokus kepada pelajaran.

“Di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan. Cuba semaikan amalan sukakan ilmu supaya mereka kerap menghadirkan diri ke sekolah tanpa paksaan untuk mengelakkan budaya ponteng,” katanya.

Menurut Anis Azrina, proses pembelajaran pun menjadi mudah dan mereka juga dapat menerima ilmu pengetahuan agar mampu melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Selain guru, kita juga harus menghargai pengorbanan ibu bapa yang sedaya upaya cuba melakukan terbaik untuk masa depan kita yang lebih terjamin.

Raikan mereka, jangan sisihkan kerana apa yang diberikan juga merupakan sebahagian ilmu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN