fbpx

Polis siasat kelab kereta bergambar di lorong kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kelab kereta tersebut yang tular di media sosial.

SEREMBAN – Polis akan memanggil sekumpulan individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta selepas gambar mereka berkumpul di lorong kecemasan di Jalan Temiang-Pantai di sini tular melalui media sosial Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan hantaran menerusi Facebook yang memaparkan sekumpulan individu daripada kelab kereta ‘FCCM-FC Club Malaysia’ memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuh raya berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang, Sabtu lalu.

“Polis akan panggil ketua kelab itu dahulu untuk memberi keterangan, kita sudah kenal pasti kira-kira 48 buah kereta setakat ini.

“Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah seperti yang tular itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fazley, jalan Temiang-Pantai merupakan lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar kerana keindahan pemandangan di lokasi terbabit tetapi tindakan mengambil gambar seperti yang tular itu boleh mengundang bahaya.

“Justeru, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu berkenaan mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.

“Hukuman denda juga boleh dikenakan ke atas individu yang terlibat di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.

Mohd Fazley turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

“Perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan akan dilakukan bagi menyelaras tindakan lanjut selain cadangan bagi menyediakan tempat khusus di kawasan berkenaan untuk orang ramai bergambar serta menjaja,” katanya.

Semalam tular di media sosial Facebook selepas pemilik akaun kelab kereta itu memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan deretan kenderaan dipercayai milik ahli kelab berhenti di laluan kecemasan kedua-dua arah untuk mengambil gambar yang didakwa merupakan sebahagian daripada aktiviti lepak santai mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI