fbpx

[VIDEO]Aksi budak lelaki ‘lapor’ penemuan ular sawa tarik perhatian ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar yang memaparkan aksi seorang kanak-kanak seolah-olah seperti seorang wartawan ketika menyampaikan berita penemuan seekor ular sawa di kampungnya.

SUNGAI PETANI – Aksi bersahaja seorang kanak-kanak lelaki ‘melaporkan’ secara langsung penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau di sini menerusi akaun Facebooknya semalam menarik perhatian ramai.

Video berdurasi dua minit 47 saat itu memaparkan keletah Muhammad Hafiq Mohd. Asyraf, 11, berkongsi cerita berhubung penemuan reptilia tersebut di dalam longkang.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau turut memaklumkan ular sawa itu ditemui penduduk selepas mendapati air di dalam longkang tersumbat.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.27 petang.

Anggota APM menangkap ular sawa yang ditemui di dalam longkang di sebuah pasar awam di Bukit Selambau semalam

Katanya, empat anggota Skuad Bravo APM diketuai Koperal (PA) Siti Salmah Zakaria bergegas ke lokasi dan tiba pada pukul 7.36 malam.

“Ular sawa sepanjang empat meter dengan berat 30 kilogram akhirnya berjaya ditangkap.

“Reptilia itu tidak berdaya lagi untuk bergerak kerana kekenyangan setelah dipercayai menelan sesuatu di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ular sawa yang ditangkap itu akan dilepaskan semula ke habitat asal.

Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit yang berniaga sayur di pasar awam tersebut, Mazlina Ahmad, 44, berkata, dia membuat aduan kepada APM mengenai penemuan ular sawa selepas menyedari haiwan itu bersembunyi di dalam longkang.

“Sebelum anggota APM tiba di lokasi, anak saya memaklumkan mengenai penemuan ular sawa itu secara langsung di akaun Facebook miliknya.

“Tak sangka pula dapat perhatian ramai. Ada yang meninggalkan komen, ‘budak ini amat dahsyat, bukan ular itu yang dahsyat’,” katanya.

Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen memuji cara penyampaian ‘bersahaja’ kanak-kanak tersebut walaupun ada sedikit keletihan.

“Bagus budak ni, penyampaiannya ‘clear’ (jelas), walaupun ada sedikit mengah (tercungap) tetapi tahap keyakinan dia tinggi, terbaik wartawan muda,” tulis Gagak Rimba.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Musang Berhantu.

“Selepas ini, semua wartawan tak boleh cari makan dan boleh bersara awal, adik ni tapau semua ‘job’ (kerja) wartawan,”ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI