fbpx

Musang king terpaksa dijadikan tempoyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKIFLI menunjukkan tempoyak manis yang baru diproses di rumahnya Kampung Damak, Jerantut semalam.

JERANTUT – Bagi mengelakkan terus menanggung kerugian akibat buah durian rosak, pe­niaga raja buah di daerah ini menukar strategi dengan menghasilkan tempoyak untuk dijual kepada penggemarnya serta peniaga makanan.

Seorang peniaga durian di Kampung Damak di sini, Zulkifli Mamud, 56, berkata, permintaan untuk tempoyak sememangnya tinggi dan jualannya mampu menampung kerugian jualan buah durian luar musim.

“Walaupun telah banyak mo­dal dikeluarkan bagi memborong durian luar musim dari tempat lain serta kebun sendiri untuk dijual, tetapi saya masih tidak berputus asa untuk memperoleh semula modal menerusi jualan tempoyak.

“Permintaan tempoyak yang semakin meningkat memboleh­kan kami sebagai peniaga di sini memproses buah yang tidak laku itu untuk dijadikan tempoyak,” katanya di Kampung Damak dekat sini semalam.

ISI durian musang king yang enak jadi buruan penggemar.

Baru-baru ini Kosmo! mela­porkan keresahan penjual raja buah di daerah ini apabila jualan durian luar musim kali ini tidak laku sehingga mengakibatkan mereka terpaksa menanggung kerugian.

Menurut Zulkifli, durian kampung, D24, IOI, tok litok, musang king serta durian kahwin akan diproses untuk dijadikan tempoyak manis dan tempoyak masam.

“Tempoyak manis dijual dengan harga RM45 sekilogram, manakala tempoyak masam antara RM20 hingga RM25 yang sememangnya mendapat permintaan yang tinggi di luar musim.

“Lazimnya tempoyak digunakan dalam masakan bersama ikan liar Sungai Tembeling dan ternakan kolam seperti ikan pa­tin, ikan tilapia dan ikan lawang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga durian, Zainuddin Omar, 62, berkata, dia tidak lagi keluar untuk menjual raja buah berkenaan kerana durian itu sudah tidak laku selain ia telah tiba kepada penghujung musim.

“Inilah cabaran saya tempuhi apabila buah durian luar musim tidak laku di pasaran berban­ding sebelum ancaman penularan pandemik Covid-19 yang mana masih ada pelanggan datang berbelanja.

“Sementara menunggu musim buah durian gugur mulai pertengahan bulan Jun hingga September ini saya mengusahakan tanah untuk tanaman tembikai komersial,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI