fbpx
Bunyi tandas dari rumah jiran mereka dikatakan amat kuat sehingga menjejaskan kualiti tidur mereka selama 19 tahun. – Getty

Saman jiran RM45,000 kerana bunyi pam tandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM, ITALI – Sepasang suami isteri menerima bayaran pampasan sebanyak €9,500 (RM45,120) hasil tuntutan saman ke atas jiran yang mengganggu mereka dengan bunyi pam tandas, lapor akhbar Mirror UK, semalam.

Menurut laporan pasangan itu, bunyi pam tandas jiran itu telah ‘menghantui’ mereka selama 19 tahun sejak 2003.

Kes tersebut bermula apabila jiran mereka, yang terdiri daripada empat lelaki bersaudara membeli tandas baharu untuk rumah mereka di Gulf of Poets, Itali.

Pasangan suami isteri tersebut mengadu mengenai bunyi pam tandas yang kuat itu lantas membawa kes tersebut ke mahkamah di bandar La Spezia.

Menurut mereka, bunyi daripada tandas itu tidak boleh diterima kerana katil mereka berada di sebelah dinding yang berhubung dengan tandas tersebut.

Bilik mereka juga dikatakan amat kecil untuk membolehkan mereka mengubah kedudukan perabot.

Hakim mahkamah itu bagaimanapun menolak tuntutan tersebut sekali gus membuatkan mereka  membawa kes tersebut ke sebuah mahkamah rayuan di Genoa.

Hasil pemeriksaan di pangsapuri mereka kemudiannya mendapati bahawa pam tandas milik empat lelaki bersaudara itu menjejaskan kualiti kehidupan mereka kerana bunyinya amat bising.

Keempat-empat beradik itu bagaimanapun mencabar keputusan mahkamah tersebut di sebuah lagi mahkamah tinggi di Rom.

Hakim kemudiannya membuat keputusan yang memihak kepada pasangan tersebut dan berkata bahawa bunyi bising itu melanggar hak suami isteri itu untuk mendapatkan tidur yang nyenyak. – AGENSI 

 

POPULAR