fbpx

Dua pemburu haram diberkas, senapang patah dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan selaras senapang patah buatan sendiri yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor hari ini. /FOTO RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Dua lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan Jalan Batu 16, Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua suspek diberkas pada pukul 11.30 malam itu terdiri daripada lelaki tempatan dan warga asing berusia 33 dan 44 tahun.

“Polis dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Kota Tinggi melakukan satu Op Khazanah selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pemburu haram di kawasan hutan berkenaan.

“Hasilnya kita memberkas satu lelaki tempatan dan seorang warga asing selain selaras senapang patah, lapan butir peluru penabur, klip besi dan batang besi berukuran 12 sentimeter,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan ke atas laras senapang itu mendapati tiada nombor siri atau jenama buatan.

Jelasnya, senapang itu disyaki dibuat sendiri suspek selain mereka tidak memiliki lesen berburu.

Mereka disyaki aktif melakukan kegiatan memburu binatang liar sejak dua tahun lalu melibatkan haiwan liar termasuk landak, ular sawa, babi hutan.

Katanya, suspek tempatan ditahan reman empat hari manakala warga asing ditahan selama 14 hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI