KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada elemen jenayah dalam satu kes kematian mengejut melibatkan orang kena tahan (OKT) dalam lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian lelaki itu disebabkan jangkitan paru-paru berair.
“Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu, Kelantan pada 17 Januari lepas.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah.
“Punca kematian adalah paru-paru berair. Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS akan meneruskan siasatan berkenaan kes tersebut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan.
Terdahulu, satu kes kematian mengejut dilaporkan berlaku melibatkan OKT dalam lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, OKT berkenaan merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun dan telah ditangkap dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE














