fbpx

Ayuh rakyat, ambil segera dos penggalak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SUDAH masuk pertengahan bulan pertama di tahun baharu, isu vaksinasi masih lagi menjadi topik perdebatan umum lebih-lebih lagi selepas suntikan penggalak diperkenalkan.

Tidak dinafikan, segelintir masyarakat sudah mula bosan mendengar perkataan tersebut, lebih-lebih lagi apabila keluar daripada mulut individu yang melabel mereka sebagai ‘prosafe’.

Majoriti golongan ini dikatakan kecewa dan ragu-ragu ke­rana mereka menyangka hanya dikenakan dua dos wajib seperti yang diuar-uarkan tahun lalu. Ada pula yang takut akan kesan sampingan yang dicanang-canang sehingga nekad enggan mendapatkan dos penggalak.

Jangan terkejut jika negara bakal melalui episod yang sama seperti tahun lalu apabila ada dalam kalangan masyarakat yang enggan divaksin.

Ada sahaja ‘dakyah’ yang dikeluarkan dek menyokong keengganan menerima dos penggalak dengan mendakwa pengambilan dua dos vaksin Covid-19 sahaja sudah memadai.

Menyangkal mitos yang dipercayai umum itu, memetik kenya­taan pakar bagi Dasar Kesihatan dan Kesihatan Global, Dr. Khor Swee Kheng yang popular di laman Twitternya, @DrKhorSK, suntikan dua dos sahaja tidak mencukupi dan individu tidak boleh mengharapkan vaksin Co­vid-19 sebagai suntikan ajaib yang sempurna dengan perlin­dungan jangka panjang 100 peratus selepas dua dos.

“Pertama sekali hampir setiap vaksin lain memerlukan tiga dos, seperti Hepatitis B, difteria atau polio. Kedua pula sistem imun badan kita secara amnya berfungsi lebih baik dengan lebih banyak pencetus, bukan kurang.

“Atas sebab ini jugalah, dos penggalak bukan sahaja berkesan dan selamat, tetapi ia juga mengikut sistem imun kita dan vaksin lain,” katanya.

Biarpun masih ramai yang cakna akan kepentingan dos penggalak, namun dikhuatiri golongan minoriti inilah yang akan menjadi ‘wabak’ dalam masyarakat. Apa sekalipun, mahu atau tidak mereka wajib sedar dan akur akan bahaya gelombang penularan jangkitan Covid-19 .

Setakat 31 Disember lalu, hanya 6.1 juta individu atau 26.1 peratus sahaja daripada populasi dewasa negara yang sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 sejak dilaksanakan 13 Oktober lalu. Jumlah tersebut masih kecil jika dibandingkan dengan populasi rakyat Malaysia.

Dalam pada itu Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, dos penggalak adalah sangat diperlukan untuk mencegah jangkitan Co­vid-19 terutama dengan ada­nya varian baru.

Situasi ini tidak wajar diambil ringan kerana memberi kesan kepada sistem kesihatan negara.

“Bagaimanapun isunya di sini, sejauh mana dos penggalak ini akan dilakukan? Mengambil contoh di Israel, dos keempat sudah dijalankan tetapi khas untuk ke­perluan petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi.

“Israel telah mempunyai liputan tinggi bagi booster ketiganya, manakala di Malaysia, pemberian booster ketiga masih belum diterima sepenuh­nya lagi.

“Maka lebih sesuai pemberian dos penggalak ketiga diberi liputan dahulu sebelum dos keempat diberikan. Di Malaysia, kita juga berhadapan dengan ramai rakyat yang diberi vaksin Sinovac dan

AstraZaneca yang diketahui dianggap kurang berkesan berbanding vaksin mRna lain seperti Pfizer atau Moderna,” jelasnya.

Tambah Dr. Sharifa Ezat, kerajaan boleh menumpukan penerima-penerima vaksin AZ dan Sinovac sebagai penerima booster dalam tempoh tiga bulan setelah vaksin terakhir diterima. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI