fbpx

Kerajaan rawat penerima alami kesan sampingan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkefly pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan Kepala Batas di Hospital Baling, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

BALING – Kerajaan akan bertanggungjawab terhadap mana-mana penerima vaksin Covid-19 yang mengalami kesan sampingan termasuk yang dikeluarkan AstraZeneca.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, pihaknya akan menyediakan rawatan susulan sekiranya gejala atau simptom dialami pesakit terbukti berpunca daripada vaksin tersebut.

Kata beliau, kerajaan mempunyai data kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin dan mempunyai kaedah bagi merawat kesan sampingan tersebut.

“AstraZeneca sudah menarik balik vaksin mereka, ini (isu) global. Apa yang kita mahu pastikan adalah kalau ada sesiapa yang terbukti (berdepan isu kesihatan) terkait dengan AstraZeneca kita ada cara untuk memastikan mereka diberikan perlindungan dan bantuan.

“Ada kaedah untuk kerajaan bertanggungjawab memberi rawatan kepada mereka. Itu jaminan kerajaan dan kita akan tahu kes-kes berkaitan kerana ada data pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, firma farmaseutikal, AstraZeneca dilapor menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia.

Tambah Dzulkefly, kerajaan turut bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac, sekiranya terbukti menghadapi kesan sampingan.

Ketika ditanya sama ada isu tersebut akan mencetuskan kebimbangan dan keyakinan masyarakat terhadap vaksin, beliau berkata, isu berkaitan vaksin Covid-19 tidak akan memberi kesan terhadap program vaksin lain termasuk Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

Ujarnya, walaupun ada segelintir pihak yang sangat sensitif dengan isu vaksin, namun NIP yang menjadi amalan di negara ini sejak sekian lama berjaya meningkatkan imunisasi kanak-kanak serta mencegah jangkitan penyakit serius. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI