fbpx

Ayu Damit dapat tawaran sambung pengajian di UUM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar yang dikongsikan Ayu dalam InstaStory miliknya.

PETALING JAYA – Penyanyi Ayu Damit teruja apabila ditawarkan untuk menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif.

Bagaimanapun, Ayu atau nama lengkapnya Norayu Damit, 33, ketika dihubungi Kosmo! Online memaklumkan masih belum boleh memberi keputusan sama ada akan menerima tawaran tersebut memandangkan dia kini sedang mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam program Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sejak Ogos tahun lalu.

“Saya menerima tawaran ini menerusi emel pada 5 Januari lalu, namun hanya menyedarinya semalam (Isnin). Sebenarnya saya masih fikir lagi sama ada mahu terima atau tidak tawaran dari UUM. Kalau ikutkan hati saya hendak terima sahaja.

“Tapi saya kena fikir juga soal masa kerana perlu menguruskan anak-anak, kerjaya nyanyian dan perniagaan,” katanya.

Ujar juara program realiti One In A Million musim pertama itu lagi, permohonan untuk melanjutkan pengajian di UUM telah lama dibuat sejak tahun lalu sebelum ditawar oleh Aswara untuk menyambung pengajian di sana.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan Ayu dalam InstaStory miliknya, penyanyi lagu Hanya Di Mercu itu akan mengikuti pengajian di UUM secara jarak jauh (PJJ) di kampus cawangan Kuala Lumpur.

“Saya ada masa lebih kurang selama seminggu untuk membuat keputusan kerana tarikh pendaftaran akan dibuat pada 26 Januari nanti. Kelas untuk semester pertama pula akan bermula pada 29 Januari 2022 nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ayu sebenarnya mengakui berasa gembira kerana diberi peluang untuk menyambung pengajiannya di UUM walaupun terpaksa memikirkan dahulu tawaran tersebut.

“Alhamdulillah. Saya bersyukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk belajar. Kerjaya sebagai artis tidak menghalang seseorang itu untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Apa-apa pun saya berharap supaya apa yang saya rancang nanti akan berjalan dengan baik,” katanya.

Tahun lalu, Ayu berkongsi rasa teruja apabila ditawarkan untuk menyambung pengajian di Aswara dalam bidang berkaitan kariernya sebagai penyanyi kerana tidak mahu bergelar ‘penyanyi kosong’.

Ayu terfikir untuk menyambung pengajian walaupun selepas sekian lama bergelar penyanyi kerana merasakan dia perlu mempunyai ilmu dalam bidang muzik dan dapat menggunakan ilmu tersebut untuk menjadi seorang penyanyi yang baik. – K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI