fbpx

Nasihat terakhir bapa bakar semangat Nur Nabilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR NABILAH sentiasa positif dengan apa yang dilakukannya.

MENGENALI gadis ini sewaktu terlibat dengan program kesukarelawanan membantu mangsa banjir di Lembah Klang penghujung tahun lalu, penulis berasakan ada sesuatu yang menarik pada pemilik nama Nur Nabilah Tarin.

Sifatnya yang peramah dan cepat menyesuaikan diri menyebabkan kehadiran gadis berusia 22 tahun berasal dari Kuala Lumpur ini dalam kumpulan sukarelawan itu begitu disenangi semua orang.

“Aktiviti sukarelawan ini memang seronok jika kita memasang niat yang betul.

“Jika betul-betul ikhlas dalam meringankan beban mereka yang memerlukan, pastinya kerja-kerja itu menjadi mudah dan menyeronokkan sekali.

“Tiada pekerjaan yang berat jika kita suka melakukannya,” tuturnya ringkas.

Punya jiwa yang halus, gadis ini begitu terkesan melihat bencana yang menimpa mangsa banjir.

Biarpun hanya mampu menyumbangkan tenaga, namun itu sudah cukup untuk menunjukkan rasa tanggungjawab dan sifat keprihatinan yang ada dalam dirinya.

Masih menuntut dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara UiTM), Kampus Puncak Alam, Selangor, gadis itu bercita-cita untuk menjadi seorang guru bahasa Inggeris suatu hari nanti.

Ini kerana, minatnya begitu mendalam terhadap bahasa perantaraan dunia itu sejak kecil.

“Ketika di bangku sekolah rendah, saya telah jatuh hati dengan subjek Bahasa Inggeris.

“Saya amat berterima kasih kepada ibu yang menghantar saya ke kelas tambahan bagi mendalami bahasa tersebut.

“Masih ingat lagi Cikgu Jagdev merupakan guru yang bertanggungjawab menarik perhatian saya dalam bahasa Inggeris kerana teknik pengajarannya yang sangat menarik.

“Hingga ke hari ini, saya masih terhutang budi kepadanya atas segala ilmu yang dikongsikan.

“Ini kerana, kemahiran saya dalam bahasa berkenaan sentiasa lebih menyerlah jika dibandingkan dengan subjek-subjek lain,” ceritanya.

Jelasnya, dia amat bersyukur kerana dengan kejayaannya dalam mata pelajaran itu jugalah telah membantu dirinya untuk membina keyakinan diri.

“Antara penyebab mengapa saya ingin meneruskan pengajian dalam jurusan tersebut adalah disebabkan nasihat terakhir ayah saya sebelum meninggal dunia pada 10 April 2017.

“Ketika itu, saya baru terima keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Tiba-tiba ayah bertanya rancangan masa depan saya berkenaan jurusan apa yang mahu diambil jika dapat masuk universiti.

“Ayah sempat menasihatkan saya agar menjadi guru seperti ibu.

“Katanya, pekerjaan itu amat sesuai untuk kaum wanita terutamanya apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak kelak,” ujar Nur Nabilah.

SELAIN fokus pada pelajaran, gadis ini turut terlibat dalam aktiviti persatuan di universiti, selain melakukan kerja-kerja sukarelawan.

Tidak menyangka itu merupakan perbualan terakhir dengan ayahnya, kata-kata itulah yang menjadikan pembakar semangat buat Nur Nabilah untuk menjadi seorang pendidik.

Nur Nabilah mengakui, perjalanannya untuk menjadi seorang guru terutama mengajar bahasa Inggeris bukan mudah seperti disangka.

Dalam pada itu, ujarnya lagi, sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan tersebut, dia merupakan pelajar bidang Sains Komputer.

“Selepas tamat SPM, saya mahu menyambung pengajian dalam program Asasi TESL di UiTM Dengkil.

“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya apabila ditawarkan melanjutkan pengajian dalam jurusan Sains Komputer di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM cawangan Perak.

“Disebabkan prestasi saya yang tidak memberangsangkan di peringkat diploma, saya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi dalam bidang yang saya betul-betul minat iaitu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Kepujian TESL.

“Alhamdulillah, akhirnya permohonan saya diterima dan kini sedang melanjutkan pengajian di Fakulti Pendidikan,” jelasnya.

Masih terlalu awal, namun gadis ini merancang untuk mencari peluang pekerjaan dan menjadi guru bahasa Inggeris di mana-mana sekolah di Kuala Lumpur sebaik menamatkan pengajian kelak.

Pun begitu kata Nur Nabilah, seandainya ada rezeki, dia sememangnya berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam jurusan sama di UiTM.

“Jika saya boleh pergi lebih jauh, mengapa tidak meneruskan pengajian demi masa depan sendiri yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Saya ingin berbakti kepada anak bangsa dengan lebih yakin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI