fbpx
NAJWA menyifatkan kursus teknologi barangan kemas yang didalaminya telah membawa satu titik perubahan besar dalam hidupnya.

Najwa impi miliki kedai barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI hasrat setiap pelajar yang menyambungkan pengajian ke menara gading untuk memilih program pengajian yang diminatinya.

Begitu juga Nurul Najwatulhuda Ishak yang berharap dapat melanjutkan pengajian di dalam bidang diminatinya.

Namun begitu ia tidak seperti yang dia harapkan, sebaliknya gadis yang mesra dengan panggilan nama Najwa itu ditawarkan untuk melanjutkan pengajian diploma dalam bidang Seni Reka Teknologi Barangan Kemas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan.

“Bidang pengajian ini bukanlah pilihan utama saya, saya sendiri tidak tahu bahawa jurusan seni reka teknologi barangan kemas ini wujud.

“Apabila mendapat tawaran, saya sendiri tertanya-tanya apa sebenar kursus ini,” katanya yang berusia 23 tahun.

Namun, rasa ingin tahu mengenai kursus tersebut dengan lebih mendalam membawa kepada satu titik perubahan besar dalam hidupnya.

Setelah meneruskan pengajian, Najwa mula tertarik dengan bidang tersebut.

Setelah tamat pengajian peringkat diploma, dia kemudian meneruskan pengajian dalam bidang yang sama untuk peringkat ijazah di UiTM Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh pengajian, perspektifnya terhadap seni berubah sepenuhnya.

“Bila saya belajar, saya sedar bidang ini bukan sekadar hasilkan perhiasan, ia sebenarnya medium untuk sampaikan emosi dan cerita.

“Di dalam setiap rekaan ia mempunyai makna yang tersendiri,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Najwa berkata, antara kemahiran paling unik yang dipelajarinya apabila mendalami bidang tersebut adalah teknik enamelling iaitu satu proses mewarnakan permukaan barang kemas menggunakan teknik khas yang memerlukan ketelitian tinggi.

“Teknik ini nampak biasa tetapi sebenarnya susah nak kuasai.

“Jika belajar di luar, kosnya pun mahal tetapi di UiTM, kami dapat peluang belajar teknik ini secara mendalam,” jelasnya.

Walaupun bidang ini nampak kreatif dan menarik, Najwa mengakui cabaran terbesar adalah untuk menterjemahkan idea kepada bentuk fizikal.

Dalam menghasilkan rekaan, Najwa banyak mengambil inspirasi daripada elemen alam semula jadi seperti flora dan fauna.

Selain itu, dia juga menggabungkan unsur emosi dalam setiap karya.

Najwa sememangnya mempunyai bakat di dalam menghasilkan rekaan barangan kemas dan apa yang lebih membanggkan dia juga telah dipilih sebagai penerima anugerah pelajar terbaik pada pameran Aurelian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Najwa berkata, hasil rekaan yang paling dibanggakan ialah koleksi bertajuk ‘Veil of Wounded Roses’ yang dihasilkannya untuk pameran tersebut.

“Koleksi ini merangkumi barang kemas bahu, aksesori muka dan gelang tangan yang diinspirasikan daripada peribahasa Melayu, bagai luka ditusuk duri.

“Saya menggunakan motif bunga mawar yang melambangkan keindahan tetapi pada masa sama mempunyai duri menyakitkan,” katanya.

Najwa menjelaskan, memilih untuk lebih mendalami bidang tersebut merupakan satu keputusan tepat yang dibuat olehnya.

Tambah membanggakan setiap semester dia meraih anugerah dekan dan Najwa baru sahaja menamatkan pengajian dengan mencatatkan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3. 8 dan akan bergraduasi pada November ini.

Najwa juga telah mendapat tawaran untuk bekerja di sebuah syarikat rekaan barangan kemas di Pulau Pinang.

Dia akan mula bekerja pada bulan hadapan. Walaupun bakal memulakan kerjaya sebagai pereka barangan kemas, Najwa tidak menolak impian untuk membuka perniagaan sendiri suatu hari nanti.

“Buat masa sekarang, saya nak kumpul pengalaman dulu.

“Tetapi saya menyimpan hasrat untuk memiliki sebuah kedai barangan kemas sendiri pada masa hadapan,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN