fbpx
Saifuddin.

Saifuddin masih kekal bersama Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh DIANA SURYA ABD WAHAB

KUANTAN – Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Saifuddin Abdullah kekal dengan pendiriannya untuk terus setia bersama dengan parti itu sekali gus tidak bercadang menyertai mana-mana parti lain termasuk terbaharu, Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sehubungan itu juga, Saifuddin menzahirkan rasa dukacita berikutan terdapat segelintir rakan dan kenalannya mula menyertai parti baharu itu.

“Saya kekal dengan Bersatu, Insha-Allah. Saya juga tidak pasti sama ada ramai atau tidak yang akan menyertai PBM, namun saya dukacita kerana mereka ini kawan-kawan saya juga.

“Sememangnya kita mengharapkan supaya semua menyertai Bersatu dan apa lagi apabila Presiden (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sangat ‘accommodate’ terhadap teman-teman yang meninggalkan PKR.

“Pada saya, agak terkilan kerana sepatutnya kita membalas jasa Tan Sri Muhyiddin dengan memperkuatkan lagi parti Bersatu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Reflisia Timur Berhad di dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Cenderawasih Timur, di sini hari ini.

Terdahulu, terdapat juga laporan media menyatakan dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pemimpin yang disebut-sebut bakal menyertai PBM.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, menjelaskan ia adalah hak masing-masing sama ada untuk menyertai parti lain atau untuk menubuhkan parti lain.

“Kita tidak dapat menghalang niat dan hasrat mereka untuk menyertai atau menubuhkan parti baharu kerana mereka ada hak masing-masing. Sebahagian daripada mereka yang menubuhkan parti PBM itu pula, bukannya ahli Bersatu,” ujarnya. -K! ONLINE

 

 

 

POPULAR