fbpx
LONGGOKAN sampah domestik dan sisa toksik daripada 2,000 kilang menjadikan Citarum sebagai sungai terkotor dunia.

Usaha memulih Sungai Citarum, sungai terkotor di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Rahmat Sutrisno menuruni cerun tebing Sungai Citarum yang merupakan sungai terpanjang dan terbesar di Jawa Barat, Indonesia, aktivis tersebut tidak dapat menahan bibirnya daripada terus menguntumkan senyuman.

Impian mahu melihat Citarum, sebatang sungai yang menjadi penghubung penduduk kampung dan landskap wilayah paling ramai penduduk di Indonesia itu bebas daripada pencemaran lebih dua dekad lalu itu hampir tercapai apabila kerajaan mula melancarkan program pemulihan dikenali sebagai Citarum Harum pada 2018.

Biarpun Citarum belum bersih sepenuhnya dan masih banyak lagi yang perlu dilakukan, namun lelaki berusia 71 tahun ini melihatnya sebagai langkah pertama ke arah itu.

Sepanjang 279 kilometer, Citarum mempunyai peranan penting dalam kehidupan masyarakat di Jawa Barat.

Selain menjadi punca air utama untuk lebih 25 juta penduduk, ia juga menjadi bekalan kepada industri, pertanian, perikanan, pembetungan, dan elektrik di kawasan tersebut.

Bahkan Citarum juga merupakan punca kuasa kepada tiga loji hidro elektrik dan boleh menjana kuasa sehingga 1,400 megawatt.

Merupakan salah satu sumber air paling indah di Asia sejak puluhan tahun lalu yang mana penduduknya bebas berenang dan menangkap ikan, Citarum bagaimanapun berubah menjadi tapak longgokan sampah dan pembuangan sisa toksik daripada kilang sekitar tahun 1980-an.

LEBIH 80,000 tan sampah dan endapan berjaya dibawa keluar jentera berat yang bekerja setiap hari sepanjang tiga tahun lalu di Sungai Citarum.

Selain industri, Citarum turut menjadi tempat longgokan sampah kawasan penempatan.

Dalam hal ini, sebanyak 20,462 tan sampah dihasilkan sehari dan 71 peratus daripadanya tidak terangkut sehingga ke tempat pembuangan terakhir.

Keadaan tersebut menyebabkan Citarum diisytiharkan sebagai sungai paling tercemar di dunia pada 2003 oleh Bank Dunia.

Dikelilingi lebih 2,000 kilang yang rata-ratanya merupakan pembuatan tekstil, sungai terbabit menjadi lokasi kumbahan sisa kimia oleh syarikat berkenaan.

Kesan daripada aktiviti perindustrian itu juga, bilangan spesies ikan di Sungai Citarum menurun sebanyak 60 peratus sejak 2008.

Cerita Rahmat lagi, ketika tiada individu lain yang mempedulikan Citarum, dia dan beberapa aktivis alam sekitar lain kerap melakukan rondaan di sungai berkenaan.

Katanya, rasa tanggungjawab dan mahukan perubahan menebal dalam diri membuatkan dia tidak berputus asa biarpun pada waktu itu, harapannya untuk melihat sungai tersebut dalam keadaan bersih agak tipis.

“Semasa musim kemarau, sungai tersebut bertukar hitam akibat sisa industri.

“Ia berbau amat busuk dan boleh dihidu dari jarak 2 kilometer.

“Apabila tiba musim hujan, ia ditutupi sepenuhnya dengan sampah-sarap. Baunya pun meloyakan,” kata Rahmat kepada portal CNA.

SEORANG lelaki mencari plastik terbuang untuk dikumpulkan bagi membersihkan sungai itu.-AFP

Kongsinya, keadaan di kampung sebelum usaha menangani pencemaran sungai dilakukan, tanaman padi tidak subur hinggakan ada yang mati disebabkan pencemaran.

Jika hidup sekalipun, ia tidak akan menghasilkan bijirin.

“Saya tidak bergerak sendiri kerana turut mendapat sokongan daripada aktivis Rangkaian Rakyat Pemeliharaan Kualiti Sungai.

“Kami mengumpul semua bukti yang ada terhadap kilang-kilang tekstil di kawasan tersebut untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Kilang-kilang ini sebahagiannya membekalkan pakaian kepada jenama fesyen terkenal dunia, selalunya membuang sisa tidak dirawat ke dalam sungai,” jelasnya.

Kualiti airnya dikategorikan sebagai paling tidak selamat untuk kegunaan manusia.

Dalam pada itu, Bank Pembangunan Asia mendedahkan, paras bakteria dan pencemaran di sungai tersebut lebih daripada 5,000 kali ganda had mandatori, manakala paras plumbum pula jauh melebihi piawaian air minuman Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat.

Kebanyakan individu yang tinggal di sekitar Citarum tidak mempunyai pilihan selain menggunakan airnya untuk kegunaan harian seperti mandi, membersihkan barangan dan mencuci pakaian.

Keadaan itu menyebabkan kebanyakan mereka mengalami masalah kesihatan seperti dermatitis, ruam sentuhan, masalah usus, selain masalah perkembangan kanak-kanak, kegagalan buah pinggang, bronkitis kronik dan ketumbuhan.

“Walaupun kotor, namun kesemua mereka terutamanya golongan nelayan masih lagi melakukan aktiviti memancing di kawasan tersebut memandangkan ia merupakan mata pencarian penduduk di situ.

“Apa yang menyedihkan, hasil tangkapan yang dicemari dengan logam berat dan mikroplastik itu kemudian dijual dan dimakan oleh penduduk,” jelasnya.

Dengan matlamat menjadikan air di sungai itu boleh diminum menjelang 2025, kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Joko Widodo pada waktu itu mula menyusun langkah membersih dan memulihara Citarum.

Ia dilakukan dengan mengekang kilang yang melanggar undang-undang alam sekitar dan menempatkan semula penempatan sisa pepejal, detergen dan najis di lokasi yang betul.

Program yang disokong Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Pembangunan Asia itu tidak menumpukan sungai semata-mata.

Ia turut meliputi pemulihan kawasan pergunungan, mengekstrak sedimen toksik, menyelia pembuangan air kumbahan dan projek pendidikan alam sekitar.

Di samping itu, pasukan tentera digerakkan untuk membersihkan bahagian sungai yang tercemar dan memasang jaring serta kemudahan rawatan air di sepanjang sungai.

KEADAAN terkini Sungai Citarum sejak menjalani program Citarum Harum pada 2018.

Universiti tempatan dan agensi alam sekitar telah berusaha untuk menangani sumber pencemaran dan menjalankan kajian.

Jentera berat digunakan setiap hari untuk memungut ‘gunungan’ sampah di permukaan sungai dan mengorek sedimen tercemar yang terkumpul di dasarnya.

Sepanjang tiga tahun dilaksanakan, 80,000 tan sampah dan endapan di sungai Citarum berjaya dikeluarkan.

Hasilnya, penghujung tahun lalu selepas kira-kira tiga tahun pelaksanaan program Citarum Harum, sungai itu diletakkan pada aras cemar ringan dengan indeks kualiti air 55 mata.

Impak program itu, air sungai tersebut kini selamat untuk digunakan dan penduduk kembali berenang di dalamnya.

Pengemis yang dahulunya memburu cawan dan botol plastik di sungai tercemar itu, kini menjadi nelayan, manakala tanaman padi pula bertambah baik sejak dua tahun lalu yang mana penduduk berjaya menuai enam musim padi setahun.

Tidak lagi menghabiskan masa melakukan rondaan penyiasatan, Rahmat kini kembali bercucuk tanam.

Begitupun, menurut Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan di Glasgow, Scotland November lalu, wilayah tersebut bakal dijadikan sebagai skim cash for trash yang menukar sampah kepada wang tunai sebagai usaha menjaga kebersihan Citarum.

Bukan itu sahaja, mereka juga menjadikan sampah sebagai salah satu bentuk perniagaan seperti menukar plastik pembungkus bahan cuci kepada alas kaki dan beg.

“Walaupun sudah bersih, tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan.

“Mungkin tidak begitu besar dan terang-terangan seperti sebelum ini, tetapi masih terdapat kilang tekstil yang membuang air sisa tidak dirawat di Citarum dan anak sungainya secara rahsia pada waktu malam atau apabila pihak berkuasa tidak melihat.

“Kita ada dasar strategik serantau yang mesti dilaksanakan oleh setiap wilayah dan bandar, iaitu pengurangan 30 peratus bahan buangan melalui kitar semula,” ujarnya.

POPULAR