fbpx

Perhilitan Terengganu terima laporan serangan harimau di Kemaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seekor lembu yang mati akibat serangan harimau di ladang kelapa sawit di Kampung Air Putih, Kemaman pada bulan lalu.

KEMAMAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasang dua perangkap di sebuah kawasan ladang sawit di Kampung Air Putih di sini bagi menangkap harimau yang didakwa telah membaham lembu milik penternak.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, perangkap dengan umpan anak kambing tersebut dipasang semalam susulan laporan penternak kampung tersebut yang mendakwa beberapa ekor lembu milik mereka mati diserang harimau.

“Kita baharu menerima aduan daripada penternak, lembu mereka menjadi mangsa serangan harimau beberapa kali sejak Julai tahun lalu.

“Serangan terakhir dikatakan berlaku bulan lalu. Perjumpaan bersama penternak haiwan, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Ab. Razak Ibrahim telah dilakukan bagi mengatasi masalah serangan harimau,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Bagaimanapun, Kean Seong berkata, pihaknya masih belum pasti sama ada haiwan belang atau harimau kumbang yang bertanggungjawab melakukan serangan terhadap lembu ternakan itu.

Jelas beliau, ia disebabkan aduan yang dibuat penternak lewat dan tidak sejurus serangan berlaku.

“Sekiranya penternak membuat aduan terus siasatan boleh dilakukan dengan mudah berdasarkan corak serangan dan bangkai mangsa yang ditinggalkan.

“Siasatan jumlah sebenar lembu yang telah menjadi mangsa juga sedang dijalankan. Kita nasihatkan penternak dan pekerja ladang agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti di ladang,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI