fbpx

Michael Ang menyanyi sebab depresi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MICHAEL ANG

TERKENAL dengan kelantangan ketika mengkritik, siapa yang tidak kenal ‘mulut’ pengarah dan produser terkenal Michael Ang.

Setiap kata-kata yang keluar dari mulutnya ibarat ‘petir’ sehingga boleh membuatkan telinga yang mendengarnya bernanah.

Individu yang berhati rapuh mungkin akan mudah terasa jika mendengar kata-kata yang meluncur di bibirnya.

Biarpun ‘pedas’ untuk ditelan, namun adakalanya, apa yang dikatakan Michael ada juga logiknya berdasarkan pendapat peribadi.

Bagi Michael, dia cuma mahu menjadi diri sendiri dan lebih selesa bersikap berterus-terang kalau merasakan apa yang dilihat dan didengar itu tidak kena di matanya.

Bahkan, pemilik nama lengkap Michael Ang Hai Swee itu sendiri mengakui dia tidak kisah jika dikritik kerana berpendapat perkara tersebut adalah hak untuk seseorang itu bersuara dan memberikan pandangan.

PENGARAH dan produser berusia
45 tahun ini bersedia andai dikritik kerana merasakan masyarakat mempunyai hak dan kebebasan untuk bersuara.

Silakan kritik

Buktinya, Michael baru-baru ini melancarkan single sulungnya yang berjudul Cinta Atau Propa. Percubaan ‘berani mati’ tersebut dilihat sebagai salah satu bukti bahawa lelaki berbangsa Cina itu sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kritikan.

“Orang ada hak untuk mengkritik. Saya tidak kisah pun sebenarnya sebab media sosial bukanlah kehidupan sebenar. Saya juga banyak mengkritik. Kalau saya dengar seseorang penyanyi itu menyanyi tidak sedap, saya akan kritik terutama ketika pertandingan. Saya hanya kritik penyanyi yang memasuki pertandingan.

“Saya tidak pernah kritik tentang lagu jika seseorang artis itu mengeluarkan lagu baharu. Sama juga kalau saya buat drama dan orang kritik drama saya. Saya tidak boleh marah dan tidak pernah marah sebab itu hak mereka (penonton).

“Jadi bila saya mengambil keputusan untuk keluarkan lagu, saya kena bersedia dan terima kritikan orang,” katanya.

Berkongsi kepada Hib Glam, Michael yang ditemui ketika majlis pelancaran lagu Cinta Atau Propa secara virtual mendedahkan bahawa dia tekad untuk merakamkan single tersebut ketika mengalami depresi.

MICHAEL ANG menganggap suaranya tidaklah begitu teruk ketika menyanyi sehingga boleh membuatkan orang ramai termuntah ketika mendengarnya.
– INDIGITAL MUSIC

Depresi

Ujar Michael, dia ditawarkan oleh pihak Indigital Music pada tahun lalu untuk merakamkan sebuah lagu ketika dirinya bergelut dengan depresi.

“Ketika ditanya, saya terus kata ‘ya’ sebab sedang mengalami depresi selain ingin mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya tertekan sebab alami masalah dengan orang yang saya sayang, orang yang tikam saya dari belakang selain masalah kerja sehingga membuatkan saya tertekan,” jelasnya.

Kata pengarah drama The Hotel itu lagi, sebelum ini dia sudah melakukan pelbagai perkara termasuk berlakon, mengarah, menulis skrip, memasak dan menjadi penerbit.

Hanya ada tiga perkara lagi yang belum dia lakukan iaitu menyanyi, menulis lagu dan menulis lirik.

“Saya pernah cakap pada diri sendiri sebelum ini bahawa menyanyi adalah satu-satunya perkara yang saya tidak akan buat kerana langsung tidak yakin dengan suara sendiri.

“Tapi nampaknya sekarang hanya tinggal dua lagi perkara yang saya ingin buat (tulis lagu dan lirik),” ujarnya.

Menyedari dirinya mengalami tekanan perasaan, Michael tidak berlengah bertemu dengan pakar kesihatan mental selepas merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Dia tidak pernah mengalami depresi sebelum ini, namun dapat merasai perubahan emosi dan mental sehingga membuatkannya mengambil keputusan mendapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar kesihatan mental.

MICHAEL berkata, dia tidak mengeluarkan duit sendiri untuk merakamkan single Cinta Atau Propa sebaliknya ditawarkan oleh pihak rakaman Indigital Music
untuk mengeluarkan lagu.

Tak keluar duit

Kelahiran single sulung Cinta Atau Propa ciptaan Killa Driz dan diterbitkan Hafiz Hamidun tidak ada kena mengena langsung dengan orang lain, selain daripada dirinya.

Maka, dia meminta sesiapa yang ‘perasan’ bahawa lagu tersebut ditujukan kepada mereka supaya sedar diri.

“Sejujurnya dia tidak berniat menyindir sesiapa. Saya tujukan lagu ini kepada pekerja-pekerja saya dan tentang kehidupan peribadi saya.

“Kalau ada yang tersinggung, siapa makan cili, dialah rasa pedas,” katanya.

Menepis dakwaan jika ada pihak yang menggelarnya sebagai ‘tamak’ kerana ingin mengaut segala peluang yang ada di depan mata, pengarah itu tidak kisah kerana apa yang dia lakukan pada hari ini adalah untuk menguji kemampuan dirinya sendiri.

Pada masa sama, Michael juga tidak kisah jika ada pihak cuba menyamakan dirinya dengan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri yang terlebih dahulu tampil dengan beberapa buah lagu sebelum ini.

SINGLE Cinta Atau Propa dirakam oleh Michael ketika dia mengalami depresi selain ingin mencabar kemampuan diri sendiri

Jelasnya, sesiapa sahaja boleh menyanyi jika berduit, berbeza dengan dirinya yang ditawarkan untuk merakamkan lagu tanpa perlu mengeluarkan walau sesen pun.

“Sesiapa sahaja boleh menyanyi asalkan berduit. Apa yang paling penting, saya tidak membayar ya!

“Saya tidak keluar duit sendiri. Maknanya saya tidak tergedik-gedik nak keluarkan single sendiri,” jawab Michael bernada selamba.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI