fbpx
Kit ujian kendiri di Britain yang diedarkan secara percuma bakal dimansuhkan tidak lama lagi. - NBC

6 tahun lagi hidup dengan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Satu laporan mendakwa barisan kabinet Britain menjangkakan bahawa pandemik Covid-19 akan berlarutan sehingga enam tahun lagi, lapor akhbar The Sun UK, kelmarin.

Berikutan itu, kit ujian kendiri antigen pantas virus tersebut yang kini diberi secara percuma mungkin akan ditamatkan bagi mengelak kerugian berbilion pound sterling.

Di bawah rancangan yang dilaporkan sedang dipertimbangkan oleh barisan menteri, kit ujian hanya akan disediakan di pusat jagaan warga emas, hospital dan sekolah.

Langkah pemotongan kos itu juga akan menyaksikan khidmat Ujian dan Jejak Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dihadkan.

“Saya tidak fikir kita berada dalam dunia yang membolehkan kita berterusan memberi set ujian kendiri antigen pantas secara percuma kepada rakyat selama-lamanya.

“Kita mungkin perlu beralih ke senario di mana pemberian kit ujian kendiri berkurangan namun dalam masa sama memiliki kapasiti untuk meningkatkannya mengikut keperluan semasa,” ujar sumber akhbar The Sunday Times.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa keputusan muktamad mengenai pemansuhan pemberian percuma kit ujian kendiri Covid-19 masih belum dibuat.

Cadangan itu merupakan sebahagian daripada rentetan kajian yang menunjukkan gejala varian Omicron adalah lebih ringan berbanding strain lain.

Kempen suntikan dos penggalak yang giat dilaksanakan dipercayai berupaya melindungi individu daripada Omicron dan menawarkan peluang terbaik untuk bertahan dalam musim pandemik ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengumumkan bahawa individu yang mendapat keputusan positif menerusi ujian kendiri tidak perlu mengesahkannya dengan ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (PCR) jika tidak bergejala.

Jumlah kematian di Britain kelmarin telah mencecah angka terbesar di Eropah dengan 150,000 kes dicatatkan sejak wabak ini bermula dua tahun lalu.

Sementara itu, Johnson dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Twitter menulis kronavirus telah memberikan kesan yang teruk kepada Britain dengan angka kematian terbaharu.

“Cara bagi kita untuk keluar dari wabak ini adalah dengan semua orang mendapatkan suntikan dos penggalak dos pertama atau kedua sekiranya mereka belum berbuat demikian,” ciapnya. – AGENSI 

POPULAR