fbpx
Bilangan ahli aktif yang mencapai simpanan asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun telah menurun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir 2022.

Cukupkah lagi duit dalam Akaun 2 KWSP?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mencadangkan supaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan menggunakan Akaun 2 atau Akaun Sejahtera untuk membiayai premium bulanan insurans kesihatan.

Jika diluluskan kerajaan, kira-kira 16 juta pencarum KWSP akan berpeluang menikmati perlindungan insurans kesihatan termasuk rawatan di hospital swasta.

Berdasarkan statistik, kira-kira 32 peratus kos penjagaan kesihatan di negara ini dibayar sendiri oleh pesakit tanpa perlindungan insurans.

Cadangan Menteri Kesihatan itu mengambil inspirasi daripada model negara seperti Singapura, yang mengutamakan akses insurans untuk majoriti rakyat.

“Ia bukan daripada poket mereka. Hanya satu peratus yang kecil daripada Akaun 2 KWSP digunakan untuk bayar insurans. Ini cara yang paling baik,” kata Dr. Dzulkefly.

Cadangan ini jika dipandang dari sudut positif sememangnya baik. Lagipun skim itu bersifat sukarela, bukannya paksaan.

Ia juga dapat mengurangkan kepadatan pesakit di hospital-hospital kerajaan. Tidak perlu lagi menunggu berjam-jam lamanya untuk mendapatkan rawatan dan tidak perlu bersusah payah mencari tempat letak kenderaan yang semakin padat.

Ketika ini, golongan berkemampuan sahaja mampu membeli insurans bulanan, manakala mereka yang tidak mampu hanya mengharapkan insurans yang disediakan majikan ataupun mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Dengan adanya insurans kesihatan, pencarum KWSP boleh mendapatkan rawatan segera dan berkualiti di pusat perubatan swasta, terutama melibatkan pembedahan. Manfaat besar daripada perlindungan insurans sememangnya tidak dinafikan.

Bagaimanapun, cukupkah lagi duit anda dalam Akaun 2 untuk dikeluarkan secara bulanan bagi menampung bayaran insurans kesihatan?

Sedia maklum, semua akaun KWSP telah distruktur semula iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).

Jika setiap bulan dikeluarkan misalnya RM200, setahun RM2,400 dan 10 tahun berjumlah RM24,000. Makin lama semakin susut duit dalam Akaun 2.

Takut-takut di usia 50 tahun, tiada lagi wang yang boleh dikeluarkan. Hanya mengharapkan Akaun Persaraan di usia 55 tahun.

Sebelum ini pun, terdapat pengeluaran i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19.

Berdasarkan statistik, empat pengeluaran khas itu menyebabkan 71 peratus pencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk bersara.

Bilangan ahli aktif yang mencapai simpanan asas iaitu RM240,000 pada usia 55 tahun telah menurun daripada 36 peratus pada 2020 kepada 29 peratus pada akhir 2022.

Kini terpulang kepada anda untuk mengeluarkan lagi wang melalui Akaun 2 bagi membiayai premium bulanan insurans kesihatan jika cadangan itu diluluskan kerajaan.

Paling penting lihat dulu wang dalam Akaun 2 sebelum membuat sebarang keputusan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN