fbpx

Tip bercuti bersama bayi dengan selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELALU bermain dengan bayi anda agar dia tidak meragam dalam penerbangan.

MEMBAWA anak kecil terutamanya bayi ketika bercuti pastinya sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, terutamanya bagi mereka yang baru sahaja menimang cahaya mata buat kali pertama.

Kekurangan pengalaman menjaga anak kecil membuatkan ibu bapa muda sedikit panik untuk bercuti kerana risau bayi tidak sesuai di tempat asing, begitu juga memikirkan keperluannya dan keadaan perjalanan yang panjang.

Pun begitu, anda tidak perlu terlalu risau jika telah membuat perancangan rapi dan menguruskan semuanya dengan baik.

Ini kerana, momen percutian bersama si manja itu pastinya akan meninggalkan memori manis untuk dikenang terutamanya ketika dia meningkat dewasa kelak.

Sehubungan itu, pada kali ini Horizon ingin berkongsi beberapa tip penting kepada ibu bapa yang ingin melancong bersama bayi agar percutian anda sekeluarga berjalan lancar.

1. Lokasi

Disarankan anda mencuba percutian jarak dekat terlebih dahulu dengan menaiki pengangkutan darat atau udara bagi melihat keadaan sama ada bayi anda boleh menerima perjalanan jauh atau tidak.

Percubaan destinasi terdekat itu boleh menjadi pengukur keadaan bayi anda kerana setiap anak tabiatnya berbeza, ada yang tidak tahan jalan jauh, tidak suka bising dan sebagainya.

Pastikan lokasi yang anda kunjungi itu mesra bayi dan kereta sorong bagi memudahkan serta melancarkan perjalanan kerana tidak semua tempat menyediakan fasiliti untuk anak kecil.


JANGAN lupa membawa kereta sorong agar bayi dapat tidur dengan selesa semasa berjalan.

2. Barangan

Apabila membawa bayi bersama, pastinya perlu lebih banyak barang berbanding melancong berdua agar anda dan si kecil dapat menikmati percutian dengan selesa.

Justeru, anda perlu membuat senarai semak barangan yang perlu dibawa agar tidak tercicir terutamanya makanan bayi, lampin, tisu dan susu supaya si manja tidak meragam sehingga mencetuskan suasana riuh dengan tangisannya.

Jangan dilupakan kereta sorong atau penggendong bayi supaya anda dapat membawa si manja dalam keadaan selesa kerana jika didukung terlalu lama, pastinya akan terasa lenguh dan terbeban.

BERTENANG dan sabar dengan ragam si manja kerana ia sebahagian daripada pengalaman membesarkan anak-anak.

3.Rancang penerbangan

Bagi ibu bapa yang menggunakan pengangkutan kapal terbang hendaklah membeli tiket lebih awal agar dapat memilih waktu sesuai dengan masa tidur bayi agar perjalanan tersebut dapat dinikmati dalam suasana aman.

Anda juga disarankan tiba di lapangan terbang lebih awal untuk menguruskan bayi seperti menukar lampin dan memberinya susu, agar si manja berada dalam keadaan bersedia untuk memulakan perjalanan panjang.

Sepanjang perjalanan, jangan dilupakan berinteraksi dan bermain dengan bayi serta meregangkan kaki atau tangannya untuk melegakan anggota badannya.


MOMEN bercuti dengan si kecil pastinya meninggalkan memori terindah dalam hidup.

4. Bertenang

Membawa anak kecil memerlukan kesabaran yang tinggi, terutamanya ketika dia menangis dan meragam tanpa sebab sehingga membuat orang sekeliling kurang selesa serta anda menjadi panik.

Jika anda berasa tertekan dan terlalu bimbang akan memburukkan keadaan, sebaiknya cuba bawa bertenang serta anggap ia sebahagian daripada pengalaman membesarkan anak-anak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI