fbpx
TADIKA Kemas kini menjadi pilihan ramai ibu bapa termasuk daripada golongan M40 memandangkan yuran yang dikenakan sangat rendah berbanding tadika swasta. – GAMBAR HIASAN

‘Mohon tambah tadika milik kerajaan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ibu bapa daripada golongan M40 yang tinggal di bandar khususnya di Lembah Kelang kini tidak mempunyai banyak pilihan selain mengharapkan kerajaan dapat menyediakan lebih banyak kelas prasekolah, Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan bagi menampung keperluan anak mereka.

Rayuan itu diharap dapat dipertimbangkan memandang­kan golongan berkenaan terpaksa menanggung beban kewangan apabila terpaksa menghantar anak mereka ke tadika swasta dengan caj yuran mencecah RM6,000 setahun.

Bagaimanapun, isu timbul apabila banyak premis pendidikan milik kerajaan termasuk kelas prasekolah, Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan lebih menumpukan kepada anak-anak daripada golongan miskin dan B40 berbanding keluarga daripada kumpulan M40.

Di Selangor, pekerja swasta, Mohd. Shahir Mohd. Nadrah, 39, mengakui kekurangan Tabika Kemas dan Perpaduan menyebabkan ramai ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke tadika swasta.

Katanya, pendapatan isi rumahnya adalah kira-kira RM4,000 dan dia terpaksa berdepan cabaran dalam mengurus kewangan apabila perlu juga memikirkan perkara-perkara lain seperti sewa rumah, kereta, bayaran utiliti dan sebagainya.

“Memang ada diwujudkan prasekolah di sekolah rendah, namun ibu bapa golongan M40 ini sukar mendapat tempat susulan slot kemasukan dikatakan mengikut ukuran pendapatan.

“Harus diingat bahawa tahap kemiskinan di bandar adalah berbeza dengan kampung. Jus­teru, terdapat ibu bapa yang tiada pilihan dan terpaksa mencari tadika swasta yang sesuai dengan yuran pendaftaran dan bulanan yang berpatutan,” katanya.

Di Johor, bapa kepada tiga anak, Mohd. Badrull Hisyam Adam, 32, berkata, dia berharap kerajaan dapat menyediakan le­bih banyak tadika dan kelas prasekolah bagi mengawal pe­ningkatan harga yuran membabitkan pengusaha tadika swasta.

Katanya, kenaikan harga yuran tadika swasta bukan sahaja membebankan golongan M40 sepertinya, tetapi semua rakyat turut terjejas.

“Sebagai bapa, pastinya saya mahukan pendidikan yang terbaik buat anak-anak, namun harga yuran yang terlalu tinggi akan membebankan kami.

“Justeru kami berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi perkara tersebut, sama ada dengan meningkatkan kualiti pendidikan tadika kerajaan atau menambah lagi bilangannya.

“Apabila rakyat sudah mempunyai pilihan untuk menghantar anak-anak mereka ke tadika atau prasekolah milik kerajaan, pihak swasta secara tidak langsung perlu menurunkan yuran untuk menarik pelanggan,” katanya.

Di Putrajaya, ibu kepada dua anak, Norlilihirwani Che Ram, 36, berkata, ramai dalam kalangan kenalannya mengeluh disebabkan sukar untuk menghantar anak ke Tabika Kemas hanya kerana mereka tergolong dalam golongan M40.

“Punca utama apabila kepadatan penduduk di bandar lebih tinggi menjadikan peluang untuk menghantar anak ke premis di bawah kerajaan semakin tipis dan pelbagai tapisan dilakukan ketika memohon,” katanya.

Di Pulau Pinang, seorang ibu, Nazirah Abdul Majid, 30, berkata, dia memilih untuk menghantar dua anaknya yang berusia empat dan lima tahun ke sebuah tadika Islamik dengan yuran bulanan lebih rendah disebabkan tidak mampu menanggung kos yang semakin tinggi ketika ini.

“Sebelum ini, untuk menghantar anak sulung, kami terpaksa berhabis tidak kurang daripada RM1,000 sebulan untuk membayar yuran tadika swastanya.

“Dengan keadaan ekonomi yang semakin menyusut, memang parahlah kalau keadaan seperti ini berterusan,” katanya.

Pada masa sama, Nazirah turut meminta agar kerajaan lebih prihatin dalam isu caj memasuki tadika swasta yang semakin mahal ketika ini.

“Sebagai contoh, dahulu nak masuk Tadika Kemas senang sahaja. Ada kekosongan, daftar dan terus masuk.

“Tetapi sekarang, ada sesetengah tadika Kemas atau tadika Perpaduan akan tengok pendapatan ibu bapa sebagai syarat sebelum masuk,” katanya.

Kosmo! semalam mendedahkan mengenai bebanan ibu bapa golongan M40 yang terpaksa menyediakan bajet sekitar RM6,000 setahun hanya semata-mata untuk menghantar anak ke tadika-tadika swasta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN