fbpx

Banjir : Lebih 10 juta rekod pentadbiran, peribadi terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Dari kiri ) Zakaria, Noor Zari, Jaafar melihat proses kerja-kerja menyelamatkan dokumen yang dilakukan pasukan tindakan bencana banjir di RMC Jabatan Imigresen, Seksyen 25 Shah Alam.

SHAH ALAM – Lebih 10 juta rekod termasuk berkaitan pentadbiran dan peribadi dianggarkan terjejas akibat bencana banjir yang melanda seluruh negara, ketika ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Noor Zari Hamat berkata, antaranya adalah pendaftaran pesakit, pergerakan dan pasport dan pelan pembangunan dengan Pasukan Tindakan Bencana Rekod menerusi Arkib Negara Malaysia (ANM) telah digerakkan membantu kerja-kerja penyelamatan rekod itu.

Katanya, setakat ini lebih 50 jabatan kerajaan seperti Jabatan Imigresen, sekolah, klinik, pusat kesihatan daerah dan Kementerian Kerja Raya telah diberikan khidmat nasihat dan bantuan pemuliharaan oleh ANM.

“Apa yang kita lakukan bukan setakat untuk selamatkan tetapi pendidikan kepada agensi kerajaan mengenai tindakan perlu dilakukan sekiranya banjir.

“Sebahagian besar daripada rekod ini masih boleh diselamatkan lagi dengan menjalankan kerja-kerja pemuliharaan seperti pengasingan, pembersihan dan pengeringan nenggunakan peralatan tertentu,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau kerja-kerja menyelamatkan rekod di Pusat Pengurusan Rekod (RMC), Jabatan Imigresen, Seksyen 25 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah ANM, Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Pengurusan), Datuk Zakaria Shaaban.

Berdasarkan kepada bencana banjir sebelum ini, negeri yang agak teruk terjejas adalah Selangor dan Pahang.

Justeru, Noor Zari menasihatkan setiap agensi agar mengambil langkah-langkah keselamatan dengan menempatkan rekod-rekod di bahagian lebih tinggi agar dapat menimakan kerosakan dalam bencana banjir ini.

“Walaupun, ada rekod dalam bidang pendigitalan namun ada waktunya ‘hard copy’ diperlukan (agensi atau jabatan kerajaan),” katanya.

Sementara itu, Zakaria memberitahu, setakat ini rekod-rekod yang terlibat hanya di Shah Alam sahaja selepas RMC ini dinaiki air sedalam 0.3 meter.

“Kita ada rekod secara talian (pendigitalan) dan dari segi data tidak hilang cuma ‘hard copy’ ini kalau ada keperluan perundangan.

“Respon daripada Arkib Negara pantas dan kita menjangkakan proses kerja-kerja penyelamatan rekod ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI