fbpx
Gambar hiasan

Puluhan ribu jemaah umrah terjejas akibat penangguhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Ejen–Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mendedahkan puluhan ribu jemaah umrah Malaysia dan agensi pelancongan mengalami kerugian besar susulan keputusan kerajaan menangguhkan penerbangan ke Tanah Suci mulai 8 Januari ini.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA, Mohd. Azri Abd. Razak berkata, pihaknya terlalu terkejut dengan keputusan tersebut.

Katanya, pada Januari sahaja, pihaknya telah menerima kira-kira 10,000 jemaah umrah Malaysia yang sudah bersedia untuk menjejakkan kaki ke dua Tanah Haram.

“Itu belum termasuk jumlah jemaah umrah yang dijadualkan berangkat pada Februari atau Mac. Nilai kerugian dialami agensi pelancongan sangat besar.

“Jika kos dianggarkan RM7,000 seorang, bermakna kerugian bagi Januari sahaja kira-kira RM70 juta. Secara kasar kira-kira 500 agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ketika ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Beliau diminta mengulas me­ngenai pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengatakan kerajaan menangguhkan seketika penerbangan bagi jemaah umrah bagi memperlahankan jangkitan varian Omicron yang semakin menunjukkan trend menaik.


Petugas Masjidil Haram mengawal pergerakan jemaah umrah.

Menurut Khairy Jamaluddin, penilaian risiko situasi Covid-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

Sementara itu, Mohd. Azri berkata, penangguhan itu boleh dielakkan dengan memperketatkan prosedur operasi standard dari segi kuarantin serta memperbaiki kelemahan di Ba­lai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Justeru katanya, MATTA dan beberapa persatuan pelanco­ngan lain akan meminta penangguhan itu dikuatkuasakan dalam tempoh sebulan lagi.

Menurut beliau, langkah itu bagi membolehkan jemaah yang dijadualkan ke Tanah Suci pada bulan ini meneruskan perjalanan mereka untuk menunaikan ibadah umrah.

“Banyak kerosakan berlaku dan siapa akan ganti rugi, yang menangguhkan ini Malaysia, bukan Arab Saudi. Ini sudah kali kedua. Kebanyakan jemaah sukar untuk menerima keputusan ini,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN