HULU TERENGGANU – Hasrat seorang suri rumah menziarah rumah saudara di Cheneh, Kemaman tidak kesampaian selepas dia maut dalam kemalangan di Kilometer 392.2 Lebuh Raya Pantai Timur(LPT 2) berhampiran Bukit Besi di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Norbibi Arisya Ab. Latif, 26, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, suami, Nasir Mamat, 32, yang juga pemandu Pejabat Perhutanan Kuala Terengganu patah bahu kiri manakala dua anak saudara mereka berusia empat dan lapan tahun pula cedera ringan.
Beliau berkata, sewaktu kejadian mereka dalam perjalanan ke rumah saudara di dari rumah mereka di Batu Rakit, Kuala Nerus.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Honda Jazz dinaiki mereka dikatakan terlanggar lopak air sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, mayat Norbibi Arisya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Tambah beliau, suami dan dua anak saudara mangsa yang cedera pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan. – K! ONLINE














