fbpx

Wawa Zainal diserang gastrik kronik kerana diet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAWA dimasukkan ke hospital kelmarin selepas mengalami gastrik teruk.

PETALING JAYA – Gara-gara mengamalkan diet untuk menurunkan berat badan, pelakon Wawa Zainal terpaksa dimasukkan ke hospital kelmarin selepas diserang gastrik yang teruk.

Wawa atau nama lengkapnya Nur Hawa Zainal Abidin, 30, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia dimasukkan ke hospital kelmarin selepas mengalami sakit perut yang teruk kerana gastrik sehingga menyebabkan ususnya luka.

“Saya dah dibenarkan pulang semalam. Kena tahan wad satu malam sahaja. Sebenarnya saya sudah mengalami sakit perut sejak empat hari lalu. Saya dah makan macam-macam ubat tapi ‘tak jalan’ (sembuh).

“Bila sakit perut jadi semakin teruk, saya dibawa ke hospital dan berjumpa dengan pakar Gastroenterologi untuk masukkan kamera dalam perut. Jadi dapat tahu gastrik saya dah luka,” ujarnya.

Kata isteri kepada pelakon Aeril Zafrel itu lagi, selepas mengetahui punca dia mengalami sakit perut yang teruk itu, doktor memberikan ubat yang sesuai untuk mengurangkan rasa sakit.

“Alhamdulillah lepas doktor beri ubat yang sesuai, sekarang dah okey sikit,” katanya.

Disoal tentang punca dia mengalami gastrik tersebut, Wawa berkata, dia terlalu sibuk menguruskan bayinya yang masih kecil sehingga tidak makan selain atas faktor untuk menguruskan badan.

“Saya jaga bayi. Jadi kalau malam selalu lapar. Tapi saya tak makan sebab nak turunkan berat badan. Tak mahu makan banyak sebenarnya.

“Lagi pun saya pernah alami gastrik tapi tidak seteruk seperti sekarang. Sehinggalah saya mengalami sakit perut yang teruk selama beberapa hari sebab usus luka,” katanya.

Tambah pelakon drama Sejadah Untuk Dia itu, ketika kejadian suaminya tidak ada di rumah kerana menjalani penggambaran di Johor.

“Nasib baik dekat rumah ada pembantu dan juga keluarga. Mereka yang bawa saya ke hospital. Janganlah risau sebab saya okey sekarang.

“Selepas ini saya akan jaga kesihatan dan makan dengan kerap. Takut juga gastrik datang balik,” katanya.

Tambah Wawa, dia terfikir untuk menurunkan berat badan walaupun ketika dalam pantang kerana mahu cuba mendapatkan berat badan asalnya.

“Sebelum mengandung berat saya 45 kilogram (kg). Ketika hamil sekitar 60kg. Selepas bersalin pula berat badan saya sekarang 52kg.

“Jadi saya mahu turunkan sikit berat badan sekitar empat kilogram sahaja. Tapi bila sudah diserang diet, nampaknya terpaksalah saya tangguh dahulu perancangan untuk turunkan berat badan,” jelasnya.

Selepas dibenarkan keluar hospital, Wawa berkata, doktor menasihatinya untuk menjaga pemakanan dan tidak makan makanan pedas dan panas bagi mengelak rasa sakit pada perut.

“Doktor sarankan saya makan aiskrim sebab boleh melegakan perut. Lagi pun saya sudah masuk 30 hari berpantang. Jadi tiada masalah untuk makan atau minum benda-benda sejuk,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI