fbpx
Gambar hiasan

600,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan tahun depan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Tumpuan utama kerajaan pada tahun 2022 adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu di samping pemulihan segera sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederahana (PMKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah seiring dengan usaha untuk merancakkan pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti yang telah diumumkan di dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) dan Bajet 2022.

“Tahun 2022 juga adalah tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang. Beberapa tema mustahak perlu digerakkan pada tahun 2022 antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa.

“Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah memberikan komitmen bagi mencapai status “carbon neutral nation” pada tahun 2050,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung bersempena sambutan Tahun Baharu 2022 sebentar tadi.

Jelas beliau, transformasi ke arah ekonomi dan masyarakat yang cakna terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memerlukan peralihan dalam pelbagai aspek pengurusan, pentadbiran dan kerangka minda dalam pembuatan dasar.

“Misalnya, dalam soal peluang pekerjaan yang bakal dijana, Malaysia perlu bersedia untuk mewujudkan satu ekosistem yang mampu menjana aktiviti-aktiviti dan pasaran pekerjaan yang selari dengan tuntutan dan keperluan ke arah ekonomi dan masyarakat yang mesra ESG.

“Ini merupakan antara inisiatif yang saya anggap penting mengambil inspirasi suara anak-anak muda Keluarga Malaysia untuk kita mewariskan sebuah negara lestari kepada generasi akan datang,” ujar beliau.

Tambah Ismail Sabri, sistem pendidikan sedia ada akan disesuaikan agar lebih menjurus kepada aspek ESG di mana kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya perlu ditambah baik untuk memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan itu.

“Aspirasi ESG ini juga memerlukan keberanian pihak kerajaan untuk mewujudkan rangka dasar dan insentif yang lebih kondusif, sehubungan itu, insentif yang membuktikan kerajaan komited dengan agenda ini ialah pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais, cukai jualan malahan cukai jalan bagi kenderaan elektrik (EV).

“Kerajaan juga sedar, dalam mencapai matlamat ini, ekosistem sokongan seperti infrastruktur bagi kenderaan elektrik perlu dibangunkan dan dipertingkatkan seperti di negara maju,” jelas beliau.- K! ONLINE

POPULAR