fbpx
DR. NUR LEENA WONG menunjukkan tiram putih atau Crassostrea (Magallana) saidii yang hanya ditemui di muara Sungai Muar, manakala Abdul Rani menunjukkan hasil tangkapan tiramnya yang didapatkan secara kaedah tradisional di muara sungai itu.

Spesies tiram putih muara Sungai Muar satu-satunya di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CUACA di sekitar muara Sungai Muar, Johor pada petang itu cerah dan sesekali bayu lembut menghembus. Airnya pula cukup tenang dan sudah menunjukkan tanda-tanda surut.

Keadaan tersebut membuatkan Abdul Rani Bahari tidak senang duduk di tepi jeti Kampung Parit Tiram bagi memulakan misinya mencari rezeki pada petang itu.

Berbekalkan sebuah sampan uzur berserta sebatang kayu bakau sepanjang 10 meter, nelayan berusia 55 tahun itu terus bergerak menuju ke kawasan dikenali sebagai Beting Acang.

Sebaik sampai di kawasan itu, dia terus memberhentikan sampannya sebelum memacak kemas batang kayu bakau ke dalam air sehingga mencecah permukaan dasar.

Tidak menunggu lama, Abdul Rani terus terjun ke dalam sungai tersebut sambil kedua-dua belah tangannya memeluk erat batang kayu bakau agar tidak dibawa arus.

Secara perlahan-lahan, dia turun ke dasar sungai yang berkedalaman antara tiga hingga lima meter itu. Ketika di dasar, Abdul Rani menggunakan deria sentuhan jari bagi mengesan cengkerang tiram.

Selepas tiga minit di dasar sungai, dia cepat-cepat naik ke permukaan air dengan kedua-dua belah tangannya menggenggam erat tiram dewasa seberat 150 gram.

Tiram berkenaan dimasukkan ke dalam sebuah bakul di dalam sampan. Kemudian, Abdul Rani menarik nafas panjang sebelum turun kembali ke dasar sungai bagi meneruskan pencariannya.

Itulah sebahagian daripada jerih perih yang terpaksa dilalui oleh nelayan yang mencari pelbagai spesies tiram di sekitar muara Sungai Muar.

“Saya melakukan kerja ini lebih sedekad lalu. Proses mencari tiram oleh nelayan di sini dilakukan tanpa bantuan peralatan moden. Kami hanya menahan nafas, menyelam dan mengutip guna tangan.

“Biasanya, kerja menyelam ini dilakukan sekitar tiga hingga empat jam sahaja iaitu pada waktu ‘air banir’ iaitu keadaan air tenang.

“Hasil tiram pula tidak menentu, adakalanya banyak dan kadang-kadang sedikit bergantung kepada nasib. Kalau banyak boleh mencecah lebih 200 biji,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Tiram (Crasostera gigas) adalah sejenis hidupan daripada jenis kerang yang terdapat di laut, kawasan air payau atau lokasi lain bersesuaian di seluruh dunia.

SEORANG nelayan menunjukkan kaedah tradisi mendapatkan tiram menggunakan batang kayu bakau, selam dan cari.

Muara Sungai Muar merupakan salah satu lokasi yang mempunyai tiram semula jadi serta didakwa mempunyai kualiti antara terbaik di dunia.

Abdul Rani berkata, kegiatan mencari tiram di muara Sungai Muar sudah dilakukan sejak abad ke-18 dan dia merupakan generasi keempat yang meneruskan legasi itu.

“Proses mencari tiram ini cukup mencabar dan berbahaya. Sebagai langkah keselamatan tambahan, saya perlu memakai sarung tangan, kasut, baju dan seluar panjang serta gogal.

“Kadang-kadang ada haiwan berbisa seperti obor-obor dan pelbagai jenis ikan berduri. Cengkerang tiram di dasar sungai juga boleh melukakan kaki jika terpijak,” katanya.

Lokasi mengutip tiram pula dikenali dengan panggilan beting (alunan bukit-bukit kecil di dasar sungai atau muara) dan setiap beting ada nama gelarannya tersendiri. Beting Acang, Panjang, Wa Bakak, Bakar Batu, Pasu Tiram,

Dungun dan Parit Beting merupakan sebahagian daripada 16 beting yang wujud di sekitar 300 meter radius keluasan taburan populasi tiram.

Sementara itu, pemilik Pengkalan Tiram, Kapten Bersara Jelani Laham memberitahu, tiram di muara sungai tersebut memerlukan keadaan air sungai yang payau dan boleh mati jika air terlampau masin atau tawar.

Dia menambah, tiram muara Sungai Muar cukup unik kerana usaha membiaknya di lokasi lain tidak berjaya, malah usaha beberapa pakar dari luar dan universiti tempatan juga menemui kegagalan.

Menurutnya, tiram tersebut hanya boleh hidup di situ berikutan kewujudan plankton yang menjadi makanan utamanya yang mungkin tidak terdapat di sungai-sungai lain.

“Rata-rata nelayan di sini akan membuang kembali kulit tiram yang telah dikupas dan diambil isinya ke dalam sungai.

“Kulit-kulit ini mempunyai benih-benih semula jadi yang dapat membantu proses pembiakan sekali gus memastikan populasi tiram sentiasa terpelihara,” katanya sambil memaklumkan tiram mengambil masa setahun untuk matang.

Antara spesies yang terdapat di situ ialah tiram kapak, tiram putih dan tiram selipar. Bagaimanapun, tiram putih paling dicari nelayan serta mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Jelani turut memberitahu, tiram muara Sungai Muar mendapat permintaan daripada individu hinggalah restoran besar dan hotel disebabkan rasanya yang enak serta kaya dengan nutrisi.

“Isi tiram segar dijual boleh mencecah RM60 sekilogram. Tiram ini sedap dimakan mentah dengan perahan lemon, dikukus, digoreng atau masak sambal tumis,” ujarnya lagi.

MUARA Sungai Muar, Johor dihuni tiram putih, kapak dan selipar.

Meskipun mempunyai permintaan tinggi daripada penggemarnya serta bernilai tinggi, namun dilema dihadapi ialah ketiadaan golongan muda yang sanggup menjadi penyelam mencari tiram kerana situasi kerja yang mencabar.

Tegas Jelani, sedekad lalu terdapat kira-kira 100 penyelam tiram sekitar muara Sungai Muar, tetapi kini hanya tinggal 10 nelayan tradisional yang meneruskan usaha itu.

“Golongan muda sudah tidak berminat untuk meneruskan legasi ini. Kebanyakan penyelam kini berusia lebih 45 tahun dengan yang tertua sudah menjangkau 65 tahun,” katanya lagi.

Baru-baru ini Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melakukan kerjasama penyelidikan dengan Queen’s University Belfast di United Kingdom (UK) bagi mengesahkan spesies tiram di Sungai Muar.

Hasil daripada kajian tersebut membawa kepada penemuan spesies tiram baharu yang dinamakan sebagai Crassostrea (Magallana) saidii. Ia turut dikenali sebagai tiram putih dalam kalangan penduduk dan nelayan tempatan memandangkan isinya berwarna putih.

Penyelidik Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) UPM, Dr. Nur Leena Wong berkata, spesies tiram berkenaan sangat unik kerana hanya boleh ditemui di muara Sungai Muar.

Katanya, spesies tersebut mendapat perhatiannya selepas seorang penduduk Muar, Md. Saidi Mohamed menghubungi UPM mengenai masalah populasi tiram yang semakin berkurangan.

Dr. Nur Leena menambah, penyelidikannya bersama rakan dari Queen’s University Belfast, Dr. Julia Sigwart bermula dengan pengambilan sampel pada tahun 2017 sebelum kajian biologi kitar pembiakan dilakukan.

“Kami mengumpul dan membandingkan data diperoleh dengan koleksi data berkaitan tiram yang terdapat di muzium di UK dan spesies yang terdapat di Asia.

“Hasil diperoleh menunjukkan tiada rekod DNA (ujian asid deoksiribonukleik) yang sama dengan tiram putih. Kami terkejut kerana selepas lebih 160 tahun tiram itu diketahui dan dituai, ia tidak mempunyai nama saintifik,” katanya.

Jelasnya, kaedah unik menyelam tiram untuk mengambil tiram di Sungai Muar turut tercatat dalam sejarah dan jurnal Kapten British seawal tahun 1858 dan ia masih dilakukan sehingga kini.

Menurutnya lagi, tiram putih atau tiram premium itu juga pernah dijadikan makanan istimewa untuk golongan diraja serta pegawai tinggi dan kemudian pada awal 1990-an dieksport ke pasar di Singapura.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN