fbpx

Sinar baharu buat pencari kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan akedemik dan pengalaman dalam era pandemik ini sememangnya mencabar dengan kekurangan jawatan kosong disebabkan kekangan ekonomi.

Langkah pendigitalan dipacu norma baharu juga memaksa industri mencari skil-skil baharu kepada pekerja mereka yang ada kalanya kurang tersedia pada penawaran tenaga buruh sedia ada.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara awal tahun lalu telah mengakibatkan kadar pengangguran di negara ini mencapai paras luar biasa, sehingga mencecah 5.3 peratus bulan Mei 2020 dengan melibatkan 826,100 orang penganggur.

Pun begitu, ketika langkah vaksinasi dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) semakin menunjukkan kesan positif, jelas ada sinar buat pencari kerja menuju ke hadapan apabila kadar pengangguran negara terus menunjukkan trend penurunan.

Laporan Tenaga Buruh Malaysia, Oktober 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan baru-baru ini menyebut, kadar pengangguran menurun kepada kadar terendah sejak April 2020 dengan merekodkan 4.3 peratus pada Oktober dengan 705,000 penganggur.

Jumlah penduduk bekerja pula meningkat 0.6 peratus berbanding September 2021 kepada 15.55 juta orang, manakala penganggur aktif iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merekodkan penurunan sebanyak 3.5 peratus kepada 589,500 orang.

Kementerian Kewangan (MOF), dalam taklimat pasca Bajet 2022 bersama pihak media baru-baru ini menggariskan bajet dengan nilai tertinggi tahun hadapan dengan peruntukan RM322 bilion itu menyasarkan untuk menjana lebih 600,000 peluang pekerjaan bagi menangani isu pengangguran semasa.

Sasaran tersebut adalah di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), yang menyediakan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion untuk merendahkan paras pengangguran kepada bawah kadar empat peratus tahun depan.

Ia termasuk insentif penggajian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan sehingga 300,000 pekerja dengan peruntukan RM2.5 bilion, juga Malaysia Short-Term EmploymentProgramme (My STEP) iaitu program latihan serta penempatan jangka pendek di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rakan strategiknya melibatkan 80,000 orang dengan peruntukan RM1.3 bilion.

LEBIH ramai individu bakal membina kerjaya baharu masing-masing pada tahun 2022. – GAMBAR HIASAN

Turut disediakan di bawah JaminKerja ialah program Upskilling/Reskilling melibatkan seramai 220,000 orang dengan peruntukan RM1 bilion.

Selain itu, di bawah inisiatif berlainan, sokongan perniagaan bernilai RM40 bilion turut disediakan untuk memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semula perniagaan mereka, seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan buat rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat secara jelas menerangkan, pelbagai inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pengwujudan peluang pekerjaan baharu pada tahun 2022.

Menurutnya, di bawah insentif penggajian JaminKerja, bagi majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja, kerajaan akan memberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya, tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.

TENGKU ZAFRUL

Sementara itu, bagi majikan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli dan banduan, kerajaan akan memberi insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya, tertakluk kepada gaji RM1,200 ke atas.

Insentif tersebut turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah sebagai usaha menggalakkan wanita kembali bekerja.

“Diharapkan melalui pelaksanaan inisiatif JaminKerja serta langkah pemulihan ekonomi dapat menurunkan kadar pengangguran kepada empat peratus dan mencapai tahap guna tenaga penuh,” ujarnya.

Selain itu, pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan kepada RM2,000 sehingga tahun 2023.

Tengku Zafrul menambah, pelepasan cukai ke atas yuran sehingga RM7,000 turut diberikan kepada mereka yang mengambil kursus dengan badan-badan professional yang diluluskan.

Ia merangkumi bidang perakaunan, kewangan, berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai dua kali kepada syarikat yang memberi biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan diperluas kepada semua bidang pengajian,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI