fbpx

10 kawasan di JB mungkin berlaku banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Noorazam melepaskan konvoi sempena Pelancaran Skuad Kilat Majlis Bandaraya Johor Bahru di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor hari ini. - RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sudah mengenal pasti hampir 10 kawasan hotspot kemungkinan berlakunya banjir yang susulan fenomena Luruan Monsun dijangka bermula esok hingga 3 Januari ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Datuk Osman berkata, antara kawasan hotspot itu ialah Kampung Md. Amin, Kampung Pasir serta beberapa buah kampung lagi yang kedudukannya berhampiran sungai.

Tambahnya, MBJB juga turut memberikan tumpuan kepada 54 kawasan penempatan setinggan di sekitar bandar raya ini terletak berhampiran dengan sungai.

“MBJB telah melaksanakan pembinaan sistem tebatan banjir di kawasan hotspot banjir kilat yang termasuk kerja-kerja meninggikan tembok parit sedia ada; memasang flap valve untuk mengelakkan air masuk atau melimpah ke kawasan hotspot banjir.

“Kita juga turut membina ban banjir, menaik taraf kapasiti pam sedia ada di Sungai Chat, membina sistem pam baru di kawasan penempatan penduduk Kampung Md Amin dan Kampung Pasir serta memasang perangkap sampah di beberapa lokasi hotspot banjir disebabkan sampah domestik dan pokok tersangkut di pembentung utama.

“Melihatkan kepada persediaan yang telah dilakukan, kita sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di kawasan bandaraya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Kilat MBJB di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini hari ini.

Noorazam berkata, Skuad Kilat yang merangkumi lapan unit tindakan dari pelbagai jabatan dalaman MBJB membabitkan kira-kira 300 anggota sudah bersedia untuk berdepan kemungkinan banjir.

Tambahnya, pihaknya juga turut sudah bersedia untuk membuka bilik gerakan 24 jam serta sudah mengenal pasti pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan orang ramai di bandar raya ini yang akan dibuka.

“Skuad Kilat MBJB adalah merupakan pasukan tindakan pantas terhadap aduan-aduan awam yang Bersifat kecemasan dan kejadian bencana alam antaranya tanah runtuh, banjir kilat, struktur runtuh, pencemaran alam sekitar dan lain-lain aduan.

“Skuad Kilat MBJB ini juga akan bertindak sebagai sokongan dalam melaksanakan tindakan bantuan termasuk sokongan kepada usaha-usaha dijalankan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru,” ujarnya.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI