fbpx

‘Kalau tak menyanyi, ada lagi kerja lain’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Upiak Isil tersingkir malam tadi pada pentas Gegar Vaganza kelapan (GV8).

PETALING JAYA – Dua minggu berturut-turut berada di kedudukan tercorot, penyanyi asal Indonesia, Upiak Isil akur diumumkan tersingkir daripada pentas Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) malam tadi.

Konsert minggu keenam yang mengangkat tema Langkah Seiringan dengan menampilkan lagu duet bersama Budak Baru Nak Up (BBNU) tersebut menyaksikan Upiak membawakan lagu Sembunyi bersama penyanyi undangan, Usop Mentor.

Bagaimanapun persembahan tersebut kurang mendapat perhatian barisan juri yang hanya memberikan markah sebanyak 56.3 peratus sekali gus paling rendah antara peserta yang bertanding.

Akur dengan penyingkiran tersebut, Upiak menyifatkan tiada rasa kecewa yang timbul dalam diri sebaliknya menghargai pengalaman yang diperolehi sepanjang beraksi di GV8.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membawa saya dalam program ini. Saya tidak berasa sedih kerana saya sudah berjuang sebaiknya.

“Kemampuan kita ada batasnya, tak boleh kecewa. Kalau tak ada rezeki di sini, keluar nanti ada lagi rezeki lain. Kalau tak menyanyi, ada lagi kerja lain,” katanya.

Upiak, 36, menerusi hantaran terkini dalam Instagramnya turut memohon maaf kepada peminat atas penyingkirannya malam tadi.

“Assalamualaikum semua. Maafkan Upiak. Terhentilah langkah Upiak dalam GV8 ini. Terima kasih semua yang banyak membantu. Upiak akan bangkit dan berjuang lagi,” tulisnya.

Sementara itu, penyanyi Suki Low beraksi cemerlang menerusi lagu Tiga Malam Tanpa Bintang bersama Khai Bahar sekali gus meletakkannya di tempat pertama dengan markah tertinggi iaitu 83.7 peratus.

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian 100 peratus oleh barisan juri profesional terdiri daripada maestro tersohor negara, Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap, manakala Jennifer Thompson sebagai juri jemputan.

Dihoskan duo pengacara popular Jihan Muse dan Nabil Ahmad, GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap Ahad pukul 9 malam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI