PETALING JAYA – Sebuah video memaparkan tindakan beberapa orang individu yang didakwa sedang bertengkar dengan dua pekerja di sebuah plaza tol disebabkan enggan membayar tol.
Menerusi perkongsian yang tular di media sosial itu, mereka dikatakan dalam misi menghantar bantuan kepada mangsa banjir dan meminta untuk dikecualikan dari membayar tol.
Selain itu, pekerja tersebut memaklumkan tiada pengecualiaan pembayaran tol bagi setiap individu yang melalui laluan lebuh raya melainkan beberapa agensi yang telah ditetapkan.
“Polis bantuan, mana-mana sukarelawan serta pihak agensi kerajaan yang lain juga perlu bayar tol.
“Ini kena sentuh sahaja dengan kad prabayar Touch n Go,” katanya.
Video tersebut berjaya mendapat perhatian orang ramai yang turut memberi pelbagai reaksi di ruangan komen.
“Bayar tol tetap kena bayar, ingat nak percuma sahaja,” kata Adrin Derin.
“Bajet duit to ada, tapi tak nak guna dengan alasan misi bantuan, kami yang kerja kerajaan pergi misi bantuan pun kena bayar tol, lagi-lagi sukarelawan,” kata Tuan Riz.
Selain itu, ada juga di antara mereka yang turut mencadangkan agar pembayaran tol dikecualikan bagi tempoh sekarang ekoran ramai yang ingin merentas negeri dan sebagainya untuk membantu mangsa banjir.
“Musim bencana banjir ini, bagi la bayaran tol percuma sebagai tanda membantu sesama rakyat,” kata Ujang Md. Noh.
“Apa kata beri pengecualian bayaran tol bagi negeri-negeri yang terlibat banjir, tiga hari pun sudah cukup,” kata Oren Tokman. – K! ONLINE