fbpx

Wilayah China beri pinjaman wang untuk lahirkan bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang petugas perubatan menjaga seorang bayi baru lahir di sebuah hospital di Danzai, China, 11 Mei lalu. - AFP

BEIJING – Wilayah Jilin meminta bank-bank untuk memberikan pinjaman ‘perkahwinan dan kelahiran’ sehingga AS$31,400 (RM131,723) kepada pasangan suami isteri sebagai usaha menangani masalah kadar kelahiran rendah di China, lapor laman berita Wionews semalam.

Demografi negara paling ramai penduduk di dunia itu kini berada dalam kitaran ‘terbalik’ kerana ia mungkin mengalami pertumbuhan negatif selepas 2025.

Sehingga kini, tiada maklumat tentang bagaimana pemerintah akan membantu pinjaman tersebut.

Pinjaman itu bagaimanapun menawarkan diskaun untuk kadar faedah, bergantung kepada bilangan anak yang dimiliki oleh pasangan yang memohon.

Pinjaman sama menjadi topik hangat di laman sosial Weibo.

Seorang pengguna Weibo menulis bahawa individu yang perlu mendapatkan pinjaman kewangan bagi membesarkan anak bermaksud bahawa mereka ‘tidak mahukan anak tersebut.’

“Menambah beban kewangan pasangan suami isteri bukanlah satu tindakan yang baik,” katanya.

Dalam satu langkah lain pula, Jilin membenarkan pasangan dari wilayah lain mendapatkan permit penduduk yang dikenali sebagai hukou. 

Ia juga membolehkan pasangan suami isteri untuk mengakses perkhidmatan awam di Jilin sekiranya mereka mempunyai anak dan mendaftarkan mereka di sana.

Pasangan yang mempunyai dua atau tiga anak juga boleh mendapatkan pengurangan cukai sekiranya mereka menubuhkan perniagaan kecil.

Jilin mencatatkan penurunan populasi terburuk dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, artikel yang ditulis oleh sebuah akhbar pemerintah di China telah meminta ahli-ahli Parti Komunis China (PKC) untuk memikul tanggungjawab bagi masalah jumlah penduduk yang semakin berkurangan, dan memaklumkan bahawa pasangan ‘wajib’ mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak.

“Tiada ahli parti yang boleh menggunakan sebarang alasan bersifat objektif atau peribadi untuk tidak berkahwin atau mempunyai anak.

“Mereka juga tidak boleh menggunakan sebarang alasan untuk mempunyai satu atau dua anak sahaja,” demikian kenyataan yang ditulis artikel itu. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI