fbpx
Gambar hiasan

Tiada pengeluaran KWSP – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT – Kerajaan ketika ini tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000, meskipun ramai yang terjejas dengan banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir, namun rakyat berisiko menjadi miskin tegar ketika bersara nanti.

Menurutnya, kerajaan sudah menyediakan pelbagai bantuan dan dana mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara serta bersedia menambah peruntukan.

“Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir. Jika ada yang mahu buka perniagaan, TEKUN menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium selama setahun.

“Bagi yang mahu beli barang keperluan rumah, Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan pinjaman persendirian RM10,000 tanpa faedah, dan moratorium selama enam bulan.

“Kerajaan sudah sediakan kemudahan ini. Jika apa yang disediakan ini digunakan, Insya Allah manfaat akan dapat kepada semua mangsa banjir,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan akan pertimbangkan cadangan supaya proses pemohonan bantuan pasca banjir dilakukan secara dalam talian.

Jelasnya lagi, kerajaan akan meletakkan insinerator bergerak atau mudah alih di kawasan banjir bagi melupuskan sampah-sarap.

“Alat itu akan diperbanyakkan di kawasan banjir berbanding sekarang yang hanya terdapat di Bukit Changgang dan Banting,” katanya. -K!ONLINE

POPULAR