fbpx

Suami isteri, pelajar IPTA ditahan miliki pil kuda, syabu bernilai RM760,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tengah) menunjukkan sejumlah pil kuda yang dirampas dalam dua serbuan di Bachok dan Pasir Mas kelmarin.

KOTA BHARU – Polis menahan sepasang suami isteri dan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda dan syabu bernilai RM760,000 dalam dua serbuan di Pasir Mas dan Bachok dekat sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam tangkapan pertama, polis telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun semasa suspek sedang berjalan kaki di pekan Pasir Mas.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam beg silang yang dipakai suspek telah menemui sebanyak 30 paket plastik yang mengandungi sebanyak 4,000 biji pil kuda.

“Selepas menahan suspek, lelaki itu telah membawa anggota polis ke rumahnya di Taman Rantau Baru, Nering, Rantau Panjang di sini kira-kira pukul 5 petang yang merupakan tempat tinggal bersama isteri berusia 23 tahun dan anak mereka berusia enam bulan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut telah membawa kepada penemuan sebuah kotak yang disimpan di atas siling bilik air di dapur rumah berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, pemeriksaan di dalam kotak itu telah menemui sebanyak 16,000 biji pil kuda dan 10 kilogram syabu dengan anggaran keseluruhan rampasan kesemua dadah bernilai RM520,000.

Ujarnya, selain itu, polis merampas wang tunai RM61,758 dan menyita dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Honda City selain dua buah motosikal jenis Yamaha 125Z dan Yamaha NVX yang dipercayai dibeli hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.

Ujarnya, polis turut merampas seutas rantai leher berloket empat segi, dua utas rantai tangan, dua bentuk cincin dan sebentuk loket berbentuk hati dengan jumlah keseluruhan sitaan semua barangan bernilai RM119,258.

“Sementara itu, serbuan di sebuah rumah di Gunong, Bachok dekat sini pada hari yang sama, polis menahan seorang pelajar IPTA yang berusia 23 tahun kira-kira pukul 6.45 petang.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 24,000 pil kuda yang dianggarkan bernilai RM240,000,” katanya.

Tambah Muhamad Zaki, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI