fbpx

Berlari dapat elak obesiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUKAN sekadar menyatukan minat sama iaitu berlari, Nismilan Runner Club (NRC) turut mementingkan persaudaraan dan ikatan silaturahim sesama ahli.

SELEPAS disahkan mengalami masalah kecederaan lutut atau anterior cruciate ligament (ACL) ketika bermain futsal pada tahun 2005, Mohd. Azim Salehuddin, 37, terpaksa melupakan seketika sukan diminatinya itu bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan.

Akibat daripada itu, berat badannya semakin meningkat dengan ketara kerana tidak lagi dapat bersenam atau melakukan aktiviti kecergasan seperti sebelumnya. Beratnya mencapai 120 kilogram (kg) ketika mendirikan rumah tangga dua tahun berikutnya.

“Saya memang orang yang berbadan besar sejak kecil dan berat badan saya mudah naik, lebih-lebih lagi jika tidak bersenam lalu menyebabkan saya sentiasa berada dalam kategori obesiti.

“Pada awal tahun 2020, berat badan saya pula mencecah 140kg dan ketika itu, saya berasa perlu melakukan sesuatu untuk mengawal berat badan. Pada awalnya, saya hanya melakukan senaman ringan naik dan turun tangga bangunan pangsapuri kediaman saya.

“Sekali sekala, saya melakukan aktiviti mendaki secara santai di beberapa lokasi sekitar Negeri Sembilan sebagai senaman tambahan untuk menurunkan berat badan selain melakukan senaman kardio sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020,” katanya yang menetap di Seremban dan bertugas dalam sektor awam.

Namun katanya, selepas berjinak-jinak dengan aktiviti larian dengan menyertai komuniti pelari ‘Nismilan Runner Club’ (NRC) pada Jun 2020, ia telah mengubah kehidupannya apabila dia kini sudah mencapai berat badan ideal iaitu 73kg bagi ketinggiannya yang mencecah 175 sentimeter.

AHLI-AHLI NRC berkumpul bersama bagi mengikuti sesi latihan larian secara konsisten setiap minggu.

“Saya tidak sangka dengan hanya berlari secara konsisten, ia telah membantu saya untuk keluar daripada masalah obesiti.

“Kini, saya bukan sahaja semakin sihat mental dan fizikal, tetapi turut miliki ramai kawan dalam NRC yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk terus menjalani gaya hidup sihat,” jelasnya.

Bagi Nuradlina Sulaiman, 47, pula, dia tidak pernah menganggap usia sebagai penghalang untuk dirinya kekal cergas dan sihat terutama dengan melakukan aktiviti berlari secara aktif.

Dia yang mula berjinak-jinak dengan aktiviti larian sejak awal tahun lalu juga semakin serius melakukan aktiviti tersebut apabila mula menetapkan jarak minimum yang perlu dilakukannya setiap minggu untuk kekal cergas.

“Pada peringkat awal, saya hanya melakukannya seorang diri dengan jarak larian yang mampu dicapai sekitar 10 kilometer (km) hingga 15km sahaja seminggu.

“Tetapi kini selepas menyertai komuniti NRC, saya sudah mampu mencapai jarak minimum 50km seminggu dengan mengikuti sesi latihan bebas secara beramai-ramai dengan rakan-rakan.

“Malah, boleh dikatakan saya akan mengikuti sesi latihan yang diatur NRC sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi mengekalkan tahap kecergasan selain melakukannya secara sendirian di sekitar kawasan perumahan sebagai senaman tambahan,” katanya yang merupakan seorang kakitangan perbankan dan menetap di Seremban.

Mengulas mengenai NRC, kapten kumpulan, Luqman Hakim Abdul Halim, 33, berkata, komuniti pelari tersebut diasaskan dan ditubuhkan secara tidak rasmi pada tahun 2009 oleh pelari-pelari veteran dari sekitar Seremban yang sememangnya aktif melakukan aktiviti tersebut.

PARA peserta dapat mengekalkan kecergasan dan meraih berat badan ideal menerusi larian.

Dari semasa ke semasa katanya, jumlah mereka yang menyertai NRC semakin ramai dan sehingga kini komuniti itu mempunyai kira-kira 100 pelari yang aktif menyertai sesi latihan yang dianjurkan setiap minggu.

“Jumlah mereka yang menyertai NRC sememangnya ramai, tetapi tidak semua dapat mengikuti latihan rutin yang telah kami susun disebabkan pelbagai kekangan.

“Setiap minggu, kami akan mengadakan sesi latihan sekurang-kurangnya empat sesi iaitu larian pecut pada setiap malam Selasa dan Khamis di trek Jabatan Belia dan Sukan Paroi, manakala pada waktu malam Rabu kami menjalani latihan larian bukit di Forest Height.

“Pada hari Sabtu pula, kami menjalani latihan larian jarak jauh di kawasan Bukit Putus yang jauhnya antara 15km hingga 20km pada satu sesi,” katanya.

Tambah Luqman Hakim, walaupun NRC merupakan kumpulan yang memberi fokus kepada aktiviti larian, ia juga merupakan komuniti yang turut mementingkan persaudaraan dan ikatan silaturahim sesama peserta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI