fbpx
PEMERIKSAAN kaki membolehkan individu mengenal pasti masalah yang dialami seterusnya mengetahui kaedah sesuai mengatasi masalah tersebut.–FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Pentingnya bijak memilih kasut untuk kesihatan kaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SEJAK kecil saya sering mengalami masalah sakit kaki. Keadaan tersebut semakin menjadi-jadi sekitar penghujung Disember tahun lalu,” kata Kimmy Lee.

Menurut kanak-kanak berusia 12 tahun itu, keadaan itu menyebabkan dia kemudian merujuk masalah yang dialami kepada doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemeriksaan yang dijalankan mendapati, kesakitan yang dialami Kimmy adalah disebabkan oleh permukaan tapak kakinya yang rata, selain struktur kaki tidak betul.

Selepas disarankan untuk memakai kasut yang bersesuaian dengan struktur kakinya, dia mengakui masalah yang sering dialaminya sebelum ini hilang.

Masalah sakit kaki disebabkan permukaan tapak kaki rata merupakan antara situasi biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak sejak dahulu lagi. Biarpun begitu, keadaan ini boleh diperbetulkan sendiri apabila tisu lembut mengeras dan otot di bahagian tersebut bertambah kuat.

Bagaimanapun sejak pandemik melanda negara, masalah sakit kaki dalam kalangan umum semakin menjadi-jadi. Ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan kanak-kanak, masalah tersebut turut menghantui individu dewasa.

Pelbagai punca boleh menimbulkan masalah pada kaki seperti penyakit, pemilihan saiz kasut tidak tepat, peredaran darah kurang baik dan lain-lain lagi.

Mana tidaknya, jika sebelum ini individu bebas bergerak menggunakan anggota tubuh tersebut, namun Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 mengubah kehidupan harian individu apabila kebanyakan masa hanya dihabiskan di rumah dengan pergerakan terhad.

KAKI merupakan antara bahagian tubuh terpenting dan mempengaruhi keseluruhan sistem kesihatan indivdu.

Jarang digunakan, kaki bagaimanapun mengalami ‘kejutan’ apabila kerajaan mula memberi kebenaran melakukan aktiviti sosial sekitar pertengahan tahun lalu.

Pada ketika itulah, ramai antara individu mula merasai ketidakselesaan dan sakit pada bahagian kaki apabila berjalan.

Merupakan salah satu anggota penting yang menampung keseluruhan tubuh ketika melakukan aktiviti sepanjang hari, penjagaan kaki seringkali diabaikan individu berbanding anggota tubuh lain.

Sedar tak sedar, dari kakilah punca kepada segala penyakit seperti sakit pada tumit, tulang kering, tulang belakang, leher, lutut, postur badan yang tidak seimbang dan pergerakan jalan tidak cantik.

DR. EDMUND

Menurut pakar ortotik yang juga pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif JennOrtho, Datuk Dr. Edmund Lee, sama seperti kenderaan yang mana bagi tempoh waktu tertentu, tayar yang digunakan untuk bergerak perlu diservis ataupun ditukar bagi memastikan kelancaran, kaki juga perlu dijaga rapi bagi memastikan kesihatan individu tidak terjejas.

“Kaki merupakan tonggak kekuatan dan struktur seluruh badan.

“Apabila kaki anda sakit, ia secara tidak langsung memberi kesan kepada seluruh tubuh. Lebih membimbangkan jika keadaan tersebut menimbulkan implikasi kesihatan serius.

“Tidak ramai yang mengetahui bahawa masalah kaki boleh diatasi jika dikesan dari awal menerusi pemeriksaan kaki. Begitupun pada kebiasaannya, selain bergantung kepada penggunaan ubat tahan sakit dan berurut untuk merawat masalah sakit kaki yang dialami, ada dalam kalangan pesakit yang ditemui mendapatkan khidmat rawatan bomoh.

“Ini merupakan realiti masyarakat hari ini.

“Tanpa mereka sedar, masalah tersebut boleh dirawat dari awal menerusi pemeriksaan kaki dan pemakaian kasut yang betul.

“Percaya atau tidak menerusi kaedah tersebut 80 peratus daripada masalah kaki dapat dikurangkan,” tambahnya.

RATU badminton negara, Soniia Cheah merupakan salah seorang individu yang memerlukan penggunaan pelapik kaki kerana masalah yang dialaminya.

Berkongsi lanjut menurut Dr. Edmund lagi, statistik menunjukkan kira-kira 75 peratus daripada rakyat di negara ini mengalami masalah kaki dalam kehidupan mereka.

Di Malaysia, perkara yang paling membimbangkan adalah masalah ini turut dialami oleh golongan muda.

Bermula seawal bayi, risiko itu boleh juga berlaku dalam kalangan kanak-kanak, ahli sukan, wanita hamil dan warga emas kerana kesemua individu mempunyai masalah kaki berbeza bergantung kepada jenis kaki masing-masing.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengendahkan pentingnya menjaga kesihatan kaki dan hanya menyedari masalah yang dialami apabila sudah melarat.

Biasanya individu yang memiliki tapak kaki sederhana rata, rata sepenuhnya dan bengkok ke dalam berisiko berdepan pelbagai masalah kaki, terutamanya jika tidak diberi perhatian sejak di peringkat kanak-kanak.

Antara masalah kaki yang sering dihidapi oleh individu adalah seperti keletihan kaki, sakit tumit (plantar fasciitis), sakit pada bebola kaki, sakit lutut atau pinggul, ketidakstabilan buku lali dan lain-lain lagi.

“Struktur kaki mempunyai lengkungan penting, kerana ia memberi keanjalan dalam setiap langkah individu, selain membantu mengagihkan berat badan pada kaki dan tangan.

“Individu yang mempunyai tapak kaki rata atau lengkungan rendah mahupun tiada lengkungan merupakan antara kumpulan individu yang sering berhadapan masalah kaki. Ini berlaku disebabkan oleh ketegangan otot dan ligamen penghubung.

“Tapak kaki rata juga boleh menyebabkan berat badan yang tidak diagihkan secara seimbang. Keadaan ini mungkin menyebabkan kasut haus secara tidak sekata atau lebih cepat daripada biasa, terutamanya pada satu-satu bahagian yang boleh menimbulkan kecederaan,” jelasnya.

Biarpun secara amnya, kebanyakan individu yang mempunyai permukaan kaki rata tidak mengalami sebarang kesakitan, tetapi ia akan dirasai ketika mereka melakukan aktiviti yang menampung berat badan seperti berjalan dan berlari.

Biasanya kesakitan dirasai di sekitar tapak kaki, pergelangan selain sekitar bahagian kaki.

“Apabila kaki anda tidak sihat atau sakit, seluruh badan turut sama merasai beban dan tempiasnya, berkemungkinan menimbulkan implikasi kesihatan serius.

“Sekiranya masalah ini tidak diperbetulkan sehingga dewasa, mereka akan kekal dengan keadaan kaki seperti itu selama-lamanya.

“Keadaan itu bukan saja memberi tekanan kerana perlu menanggung kesakitan dalam tempoh lama, malah lebih membimbangkan apabila bakal memberi kesan negatif terutama kepada kesihatan individu itu,” tambahnya.

KASUT yang bagus seeloknya mempunyai ruang untuk ibu jari kaki membuat pergerakan di dalamnya.

Tegas Dr. Edmund lagi, disebabkan itu pentingnya pemilihan kasut yang betul bagi setiap individu untuk mengelakkan timbulnya masalah kaki dan berlanjutan ke masalah kesihatan tubuh yang lain.

“Kebanyakan masyarakat di negara ini cenderung memilih kasut tanpa mengukur kaki mereka terlebih dahulu.

“Apabila memilih kasut, jangan pilih kasut yang muat-muat dengan kaki. Sebaliknya pilihlah saiz longgar sedikit dengan melebihkan dua jari pada bahagian hadapan kasut supaya jari-jemari kaki tidak tersekat serta boleh digerakkan.

“Penggunaan kasut yang betul dan pelapik kasut khas bersesuaian dengan struktur kaki masing-masing membolehkan individu mengatasi masalah ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN