fbpx
UDANG kara mendapat permintaan tinggi terutamanya daripada pengusaha bidang makanan dan minuman (F&B).–FAUZI BAHARUDIN

Makin ramai minat ternak udang kara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ORANG kata, berusaha dengan gigih tanpa mengenal erti jemu adalah tangga kejayaan.

Bermula secara kecil-kecilan dengan membeli induk udang kara pada sekitar tahun 2013, Suhaidy Shuib, 36, yang mengusahakan SMaju Agro Venture di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor kini boleh berbangga apabila perusahaannya menjadi hab penternak udang kara di seluruh negara.

Pada masa itu, tidak ramai penternak udang kara dan harga juga agak tinggi. Ia menjadi titik perubahan buatnya untuk lebih serius dalam penternakan hidupan air tawar ini sehingga mampu menjadi ‘orang tengah’ penternak udang kara.

Ia mempunyai 74 tangki dengan hampir semua udang kara di situ daripada penternak dari seluruh negara terutama Selangor.
————————————————————————————————————————————————————————————————
BERMULA daripada hobi membela ikan arowana sebagai penghilang tekanan sambil mencari pendapatan sampingan, lelaki itu kemudiannya terjebak secara serius dalam industri akuakultur bagi ternakan udang kara, seterusnya menjadi ‘orang tengah’ kepada penternak-penternak hidupan air tawar tersebut.

Dengan modal permulaan kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 bagi membeli induk udang kara pada sekitar tahun 2013, Suhaidy Shuib, 36, yang mengusahakan SMaju Agro Venture di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor kini mampu berbangga apabila perusahaannya menjadi hab penternak udang kara di seluruh negara.

Syarikat diusahakan bersama isteri, Aishah Zakariah, 36, menjadi tempat buat penternak-penternak udang kara mengumpul dan memasarkan hasil di bawah Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Selangor selain mendapatkan bimbingan mengenai ternakan udang kara atau nama saintifiknya Cherax quadricarinatus.

SUHAIDY mengusahakan hab penternak udang kara SMaju Agro Venture di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor yang menempatkan 74 tangki.

Menerusinya, para penternak akan dapat memasarkan udang-udang kara mereka dan dijual kepada pelanggan bertepatan terutamanya dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman (F&B).

Berkongsi kisah jerih perih dalam bidang itu, Suhaidy yang juga Ketua Pegawai Operasi SMaju Agro Venture berkata, idea tercetus kala memelihara ikan arowana yang menjadi trend bagi penggemar ikan hiasan pada masa itu.

“Ikan hiasan ini ikut trend dan harga boleh jatuh. Jadi saya fikir perlu cari sesuatu yang boleh kekal untuk diusahakan. Dari situlah, saya membuat pencarian dan berminat dengan udang kara, lebih-lebih lagi ketika itu belum ramai penternak spesies ini.

“Saya berjumpa ‘sifu’ di Melaka dan mempelajari cara penjagaan dan segala berkaitan udang kara. Memandangkan pernah memelihara ikan arowana dan tahu serba sedikit mengenai akuakultur, jadi ia tidak sukar kerana lebih kurang sama,” katanya ketika ditemui Panorama.

Bapa kepada dua anak itu berkata, sebagai permulaan, dia membeli 50 pasang induk udang kara, namun kesemuanya mati selepas kira-kira dua minggu.
Seterusnya, dia membeli lagi 100 pasang induk dan hasilnya tetap sama apabila kesemuanya mati.

“Saya membeli lagi 50 pasang induk udang kara dan nekad jika ia mati juga, saya akan berhenti. Alhamdulillah, udang kara itu berjaya menghasilkan telur dengan 820 anak udang kara menetas selepas penjagaan induk kira-kira lima bulan dengan anggaran hasil RM6,000.

“Ketika itu tidak ramai penternak udang kara dan harga juga agak tinggi. Dari situ, ia menjadi titik perubahan buat saya untuk terus serius dalam penternakan hidupan air tawar ini sehingga mampu menjadi ‘orang tengah’ penternak udang kara,” katanya yang mengambil keputusan berhenti dalam perkhidmatan awam.

DI SMaju Agro Venture turut terdapat pelbagai produk berkaitan penternakan udang kara.

Pencapaian Suhaidy kini juga melayakkannya menjadi salah seorang calon Anugerah Agro Perdana 2021 yang pemenangnya bakal diumumkan kelak.
Suhaidy berkata, SMaju Agro Venture dibangunkan dengan keluasan 0.4 hektar. Ia mempunyai 74 tangki dengan hampir semua udang kara di situ daripada penternak dari seluruh negara terutama Selangor.

“Sebelum ini saya memulakan penternakan di Ampang, Selangor di rumah ibu saya dengan 10 kolam sebelum berpindah ke Hulu Langat memandangkan bapa saya berasal dari sini selain memperoleh geran bagi Program Agropreneur Muda di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Kemudian, saya juga mendapat geran daripada Jabatan Perikanan dan LPP Selangor untuk menjadi hab pengumpulan serta tumpuan penternakan udang kara. Hampir semua udang kara di sini adalah milik penternak, manakala saya bantu mengumpulkannya di sini,” katanya.

Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Seremban, Negeri Sembilan (kini dikenali sebagai Management and Science University) itu berkata, kebanyakan udang kara tersebut adalah bagi perniagaan F&B.

“Pengusaha F&B ini akan datang ke sini bagi mendapatkan udang kara. Sewaktu pandemik Covid-19, jualan F&B menurun dan ia turut memberi kesan kepada kita. Namun dari segi jualan benih induk, ia masih tinggi memandangkan ramai mahu ceburi bidang baharu kala Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Mengenai cara penjagaan udang kara, Suhaidy berkata, hidupan air tawar itu adalah paling sukar dijaga dalam dunia akuakultur tetapi paling mudah jika dibandingkan spesies udang lain seperti udang galah.

BANYAK pihak mengunjungi SMaju Agro Venture untuk mengetahui dan melihat proses penternakan udang kara.

“Udang kara memerlukan air paip terawat nyah klorin selain penternak perlu mengetahui dan memahami ‘kelakuan’ dan ‘perangai’ udang kara. Contohnya, bila ia terkena sakit seperti demam atau bagaimana ia mengawan dan mengeram telur.

“Ini akan ditentukan menerusi pemerhatian dan pengalaman seseorang penternak sepanjang memeliharanya. Malah, undang kara ini juga berdepan risiko penyakit white spot syndrome yang boleh menjangkiti udang kara yang lain.

“Apabila ini terjadi, Jabatan Perikanan akan turun menyiasat. Udang kara tersebut perlu dihapuskan serta tidak boleh dijual dan ini sudah tentu merugikan penternak. Jadi, pencegahan awal penting bagi mengelakkan udang kara terkena penyakit ini,” katanya.

Jelas Suhaidy, penternak perlu mengetahui waktu sesuai udang kara mengawan bagi mengelakkan ‘kes juvana’ apabila proses tersebut berlaku bukan pada usia matang.

“Udang kara bersaiz empat inci sudah bersedia untuk mengawan. Elakkan mengawan ketika saiznya dua atau tiga inci dan inilah yang dinamakan ‘kes juvana’ kerana akan menyebabkan benih dihasilkan tidak berkualiti.

“Selain itu, anak tersebut akan mati, tidak membesar dan beratnya tidak mencapai saiz yang sepatutnya. Seeloknya, asingkan udang kara sewaktu saiznya bawah tiga inci untuk mengelakkan ‘kes juvana’,” ujarnya.


SUHAIDY semasa melalui sesi penilaian Anugerah Agro Perdana 2021 baru-baru ini.

Tambahnya, kemampuan seekor induk udang kara betina menghasilkan telur bergantung kepada kepanjangan saiz badan. Sebagai contoh, udang kara bersaiz empat inci boleh menghasilkan 100 hingga 150 telur dan lima ke enam inci mampu menghasilkan 800 telur.

“Pemberian makanan juga perlu dibuat enam kali sehari bagi mengelak ia makan kawan-kawan sendiri ekoran tidak cukup makanan,” katanya.
Kongsi Suhaidy, dia juga sedang menjalankan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi penghasilan kit ujian khusus untuk mengesan penyakit white spot syndrome melibatkan udang kara.

“Kita sudah ke langkah untuk mendapatkan geran bagi pembangunan prototaip dan seterusnya dikomersialkan. Namun disebabkan pandemik Covid-19, kita juga memahami ada perkara lebih penting untuk diutamakan.

Kit tersebut dihasilkan dengan kerjasama Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul dan Institut Biosains UPM yang diketuai Prof. Madya Dr. Mariatulqabtiah Abdul Razak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN