fbpx

‘Sumandak’ Sabah berbusana Kadazan di konvo USM curi perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Michelle segak mengenakan busana gabungan etnik Kadazan Papar dan Penampang semasa menerima Ijazah Sarjana pada konvokesyen USM di George Town baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Memilih mengenakan gabungan pakaian tradisi etnik Kadazan Penampang dan Kadazan Papar ketika menerima Ijazah Sarjana Sains Marin pada hari konvokesyen di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini membuatkan nama Michelle Glory G. Jonik, 28, meledak di media sosial.

‘Sumandak’ Sabah dari etnik Kadazan Papar dan Penampang itu tidak menyangka keputusannya untuk mengenakan busana tersebut mencetuskan minat orang ramai untuk mengenali budaya etnik berkenaan.

Michelle berkata, sebelum ini pada tahun 2016 dia turut mengenakan pakaian tradisi itu ketika menerima ijazah sarjana muda dari USM, namun gambarnya tidak tular seperti baru-baru ini.

“Pakaian yang saya pakai ketika majlis konvokesyen baru-baru ini kainnya adalah dari pakaian Kadazan Penampang manakala baju pula adalah daripada etnik Papar.

“Warna hitam dan emas pula adalah satu warna utama pakaian etnik Kadazan yang melambangkan kejayaan seseorang itu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Michelle, tujuannya mengenakan pakaian itu adalah untuk memperkenalkan budaya masyarakat Sabah terutama etnik Kadazan kepada orang ramai.

Tambahnya lagi, dia yang bercita-cita mahu menjadi pensyarah akan menyambung pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di USM selepas ini.

“Saya akan turut mengenakan pakaian tradisi Kadazan ketika menerima PhD nanti dan ini adalah sumbangan kecil saya kepada masyarakat Kadazan dan berharap orang ramai akan lebih tertarik untuk mengenali budaya kami,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI