fbpx

Sudan Selatan dilanda wabak misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang petugas kesihatan sedang membuat uji kaji terhadap sampel pesakit di Hospital Pendidikan Juba. - Getty

JUBA, SUDAN SELATAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar pasukan tindak balas segera ke Sudan Selatan bagi menyiasat mengenai satu wabak misteri yang tercetus di bandar Fangak, dalam negeri Jonglei, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 89 nyawa setakat ini, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Kementerian Kesihatan Sudan Selatan sebelum ini melaporkan terdapat satu wabak menular dengan pantas di bandar itu, dengan para saintis tempatan gagal mengenal pasti penyakit tersebut.

Beberapa pegawai kesihatan turut diarahkan untuk mengumpul sampel daripada pesakit bagi mengenal pasti wabak tersebut, namun keputusannya mendapati bahawa ia bukan kolera.

Seorang jurucakap WHO, Sheila Baya berkata, sekumpulan saintis telah dikerahkan ke Fangak menggunakan helikopter ekoran banjir yang masih memenuhi kebanyakan kawasan di wilayah tersebut.

“Kami membuat keputusan untuk menghantar pasukan tindak balas segera ke wilayah terlibat bagi menilai dan menyiasat risiko wabak misteri itu.

“Beberapa sampel daripada pesakit juga telah dikumpul, namun kami diberitahu bahawa seramai 89 pesakit telah meninggal dunia,” katanya kepada Badan Penyiaran British (BBC).

Sementara itu, Menteri Tanah Sudan Selatan, Lam Tungwar Kueigwong berkata, bencana banjir yang buruk telah meningkatkan risiko penularan penyakit di negara itu seperti malaria serta menyebabkan krisis kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak ekoran kekurangan makanan di negeri-negeri di bahagian utara.

“Beberapa ladang di wilayah itu turut dicemari dengan minyak yang menyebabkan kematian haiwan ternakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebuah badan amal antarabangsa, Medecins Sans Frontieres menjelaskan bahawa situasi semasa di kawasan yang terjejas dengan banjir, masalah kekurangan makanan dan pelbagai penyakit telah memberi tekanan terhadap sistem kesihatan di Sudan Selatan.

“Kami amat bimbang melihatkan krisis kekurangan zat makanan di negara itu, dengan tahap kekurangan zat yang teruk adalah dua kali ganda melebihi paras ditetapkan WHO.

“Angka kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak yang disebabkan oleh kekurangan zat makanan turut meningkat dua kali ganda sejak bermulanya banjir,” demikian menurut kenyataan daripada pertubuhan tersebut.

Sudan Selatan kini berdepan dengan krisis kemanusiaan yang amat buruk selepas banjir ekstrem melanda negara itu buat tahun ketiga berturut-turut dengan lebih 700,000 penduduk dilaporkan terjejas oleh banjir terburuk dalam tempoh hampir 60 tahun itu.

Agensi-agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa situasi itu memberi ancaman terhadap penularan wabak-wabak berkaitan air dan malaria, sekali gus membawa kepada isu kekurangan bekalan makanan serta kekurangan zat makanan. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI