fbpx

Cacar monyet dikesan menular di Amerika Utara, Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyakit cacar monyet telah menjangkiti beribu-ribu penduduk di sebahagian Afrika Tengah dan Barat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. - WHO

OTTAWA, KANADA – Pihak berkuasa di Amerika Utara dan Eropah telah mengenal pasti berpuluh-puluh kes, sama ada yang disyaki atau disahkan sebagai cacar monyet sejak awal Mei lalu.

Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan wabak endemik di beberapa bahagian Afrika itu ke rantau-rantau lain.

Kanada merupakan negara terbaharu yang melaporkan bahawa pihak berkuasanya sedang menyiasat beberapa kes yang disyaki merupakan cacar monyet. Sebelum itu, Sepanyol dan Portugal terlebih dahulu mengesan lebih 40 kes sama ada yang disyaki atau disahkan sebagai penyakit tersebut.

Selain itu, Britain pula telah mengesahkan sembilan kes sejak 6 Mei, manakala Amerika Syarikat mengesahkan kes pertamanya kelmarin yang melibatkan seorang lelaki yang baru pulang dari Kanada.

Penyakit cacar monyet, yang kebanyakan daripada pesakit pulih dalam beberapa minggu boleh membawa maut, namun hanya dalam beberapa kes terpencil.

Ia telah menjangkiti beribu-ribu penduduk di sebahagian Afrika Tengah dan Barat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun amat jarang berlaku di Eropah dan Kanada.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Selasa lalu berkata, ia telah menyelaras bersama pegawai kesihatan Britain dan Eropah bagi wabak terbaharu itu.

“Kami benar-benar perlu memahami kesan buruk penyakit cacar monyet ke atas negara-negara endemik, memahami bagaimana ia menular dan memberi risiko kepada orang lain serta jangkitan,” kata Ahli Epidemiologi Penyakit Berjangkit, Dr. Maria Van Kerkhove.

Sementara itu, Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) berkata, kes pertama di Britain melibatkan seorang lelaki yang pulang dari Nigeria. Ia diikuti dengan kes-kes berikutnya yang berkemungkinan berlaku akibat jangkitan komuniti.

“Kes-kes terbaharu serta laporan kes di Eropah menunjukkan bahawa ia mengesahkan kebimbangan utama kita, iaitu cacar monyet boleh merebak dalam komuniti,” kata UKHSA. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI