BEIJING – Satu kajian mendapati bahawa kira-kira 40 peratus pesakit Covid-19 di seluruh dunia tidak mengalami sebarang gejala ketika awal jangkitan, lapor agensi berita United Press International (UPI) semalam.
Kajian diterbitkan oleh jurnal JAMA Network Open itu turut menjelaskan bahawa individu tanpa gejala masih terdedah kepada komplikasi Covid-19 yang lain seperti keletihan yang teruk serta berpotensi menyebarkan virus kepada orang lain tanpa sedar.
“Peratusan tinggi jangkitan tanpa gejala meningkatkan potensi risiko penularan jangkitan tanpa gejala dalam komuniti.
“Saringan untuk jangkitan tanpa gejala diperlukan terutamanya bagi negara dan wilayah yang telah berjaya mengawal virus itu,’’ kata pengarang bersama kajian dari Universiti Peking, Profesor Min Liu.
Tambah Min Liu, penemuan itu membuktikan kepentingan dalam menjalankan ujian yang menyeluruh dan meluas kerana jangkitan tanpa gejala juga perlu diasingkan dan menjalani pengesanan kontak.- Agensi