fbpx

125 mesin air minuman tiada lesen disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Wazir ketika menyita sebuah mesin air minuman di Butterworth hari ini. FOTO: IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Sebanyak 125 buah mesin air minuman tidak berlesen yang dianggarkan bernilai kira-kira RM875,000 disita dalam operasi besar-besaran yang dijalankan serentak di negeri ini hari ini dan semalam.

Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan negeri, Mohd. Wazir Khalid berkata, Ops Sita itu dilakukan susulan pemantauan selama dua minggu oleh inspektor kesihatan di beberapa lokasi.

Katanya, selain tidak memiliki lesen khas daripada Kementerian Kesihatan untuk beroperasi, beberapa kesalahan lain turut dikesan sepanjang operasi itu termasuk membuat tuntutan perubatan atau mendakwa keberkesanan minuman tersebut terhadap kesihatan serta penggunaan sumber air dan elektrik yang kurang meyakinkan untuk mesin air terbabit.

“Pada masa yang sama, kita juga curiga dengan penggunaan logo halal yang diletakkan pada mesin air ini sama ada ia telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau ia digunakan untuk tujuan pemasaran semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi berkenaan di sekitar Butterworth di sini hari ini.

Tindakan penyitaan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana pemilik mesin air yang masih berdegil walaupun pernah dikenakan tindakan yang sama sebelum ini dan memberi tempoh 14 hari kepada pemilik mesin itu untuk tampil ke mana-mana pejabat kesihatan.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius isu mesin air yang beroperasi tanpa lesen serta terdedah kepada persekitaran yang kotor walaupun belum ada kes keracunan yang dilaporkan berpunca daripadanya setakat ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI